Pesara kerani didakwa gubah wang haram RM753,220

Tertuduh (kiri) dikawal polis tiba di Mahkamah Pasir Mas menuju ke bilik Mahkamah Sesyen bagi dituduh atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM753,220.
Tertuduh (kiri) dikawal polis tiba di Mahkamah Pasir Mas menuju ke bilik Mahkamah Sesyen bagi dituduh atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM753,220.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pesara kerani kewangan di sebuah sekolah didakwa atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram hasil aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah membabitkan unit saham serta wang tunai yang keseluruhan bernilai RM 753,220.

Tertuduh, Md Nawi Ab Aziz, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM239,260 hasil aktiviti haram itu dalam akaun simpanan bank CIMB miliknya di Pasir Mas pada 29 April 2017 hingga 19 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa memperoleh amanah saham berjumlah 104,000 unit hasil aktiviti haram dalam akaun amanah saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) miliknya di Amanah Saham Nasional Berhad Kota Bharu di Jalan Kebun, pada 24 Julai hingga 16 Ogos 2017 dan 23 September 2019.

Kelima-lima pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan keenam hingga kelapan, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM409,960 yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank CIMB miliknya bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB Berhad Cawangan Pasir Mas pada 30 Jun 2018, 30 Jun 2018 dan 30 Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan berjumlah RM160,000 terhadap tertuduh kerana tuduhan kes serius membabitkan nilaian ratus ribu ringgit.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nor Erini Mustapha bagaimanapun memohon ikat jamin sebanyak RM20,000 hingga RM40,000 kepada anak guamnya.

“Saya memohon agar jaminan yang minimum kerana harta tertuduh disita.

“Tertuduh juga menjaga isteri yang sakit kerana lima orang anaknya bekerja,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Kes ditetapkan pada 22 April depan untuk sebutan semula.

Tertuduh membayar ikat jamin berkenaan.