Polis Johor buru Datuk Seri dalang kes gubah wang haram

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor kini memburu seorang lelaki berpangkat Datuk Seri yang dipercayai dalang sindiket aktiviti jenayah komersial dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang dikenali sebagai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, itu adalah pengasas Winner Dynasty Group.

Menurutnya, suspek dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan kerana kesalahan kumpulan jenayah terancang.

"Alamat terakhir suspek adalah di Trigon Residence di Puchong, Selangor.

"Satu serbuan telah dilancarkan pada Sabtu di kawasan Puchong, Selangor dan kita telah membuat tangkapan ke atas 12 individu," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Ahad.

Ayob Khan berkata, suspek adalah individu yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan orang-orang berpengaruh termasuk dengan pegawai dari agensi penguat kuasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada mana-mana individu yang cuba melindungi suspek.

"Kita ingin minta kerjasama daripada semua pihak yang mempunyai maklumat untuk berhubung dengan kita.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat boleh menghubungi Asisten Superintendan V Prakash di talian 012-5209767 atau balai polis berhampiran," katanya.