Komuniti OKU mahu nama elaun ditukar kepada Elaun Pekerja OKU

Ras Adiba memotong kek sempena Majlis Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2021 di Persatuan Sindrom Down Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Ras Adiba memotong kek sempena Majlis Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2021 di Persatuan Sindrom Down Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komuniti orang kurang ipaya (OKU) mahu nama Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang diguna pakai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sekarang digantikan dengan istilah Elaun Pekerja OKU.

Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, penggunaan istilah cacat itu perlu ditukar kerana menyinggung perasaan golongan tersebut.

“Terminologi cacat yang digunakan ini adalah seperti memandang rendah terhadap komuniti kami dan kami mempertahankan (agar) nama EPC itu ditukar kepada Elaun Pekerja OKU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sindrom Down Sedunia di Persatuan Sindrom Down Malaysia, di sini pada Ahad.

Jumaat lepas, KPWKM dilaporkan memohon maaf sekiranya penggunaan istilah EPC menyinggung perasaan golongan itu dan akan menukarnya bulan depan bersempena ulang tahun ke-75 Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut KPWKM, istilah itu digunakan sejak 1970-an dan pihaknya sedang memperhalusi dan mengkaji terminologi-terminologi sedia ada yang masih diguna pakai hingga kini.

EPC adalah nama bantuan yang digunakan dalam urusan pemberian bantuan kepada golongan OKU bagi menggalakkan mereka untuk terus bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Dalam pada itu, Ras Adiba yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia berkata, pihaknya berterima kasih terhadap menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang prihatin dan mendengar rintihan golongan OKU yang tersinggung dengan penggunaan istilah tersebut.

“Saya berterima kasih kerana beliau (Rina) sendiri menghubungi saya selepas mereka dapati ramai orang tidak gembira dengan penggunaan EPC dan saya bersyukur kerana bantahan kami diambil kira dan KPWKM mengambil tindakan segera,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: