Rusuhan kuil: Dua firma guaman nafi upah samseng

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR – Firma guaman Skrine menafikan yang peguam syarikat itu mengupah samseng hingga mencetuskan insiden kekecohan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Selangor pada awal Isnin dan semalam.

Rakan firma guaman itu, Khoo Guan Huat, berkata dalam satu kenyataan tiada mana-mana peguam syarikat itu ditahan oleh polis dan firma tersebut tidak tahu langsung mengenai apa yang dikatakan mengupah samseng.

Beliau berkata firma berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata dua peguam dari syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd, telah mengupah samseng untuk mengambil alih Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dan mereka telah menceroboh kuil, sehingga mencetuskan rusuhan.

Muhyiddin juga berkata peguam-peguam tersebut adalah antara 21 orang yang ditahan oleh polis.

Guan Huat berkata Skrine kini mewakili pihak pemaju dalam prosiding sivil melibatkan pemilikan tanah yang kuil itu terletak tetapi "kami secara mutlak menyatakan bahawa kami bukanlah peguam yang dirujuk oleh Menteri Dalam Negeri."

Beliau berkata semua langkah yang diambil oleh firma guaman sebagai peguamcara bagi pemaju berkenaan telah dan akan terus secara tegas mematuhi undang-undang.

Satu lagi firma guaman, Tetuan Thomas Philip, berkata syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development berhubung pelaksanaan penghakiman persetujuan melibatkan Kuil Sri Maha Mariamman.

Rakan firma guaman itu, Mathew Thomas Philip, berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development pada 2015 apabila firma guaman lain mengambil alih perkara itu.
Artikel Berkaitan:


"Saya telah terlibat dalam rundingan yang sukar sehingga menghasilkan penghakiman persetujuan yang dipersoalkan berjaya direkodkan di mahkamah, untuk menyelesaikan pertikaian secara aman dengan pihak kuil pada 2014.

"Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan bahawa sejak 2015, firma itu tidak pernah sama sekali terlibat dalam pelaksanaan penghakiman persetujuan, kerana perkara itu telah diambil alih oleh firma peguam lain. - Bernama