Kastam sasar kutipan cukai RM40.7 bilion

Tengku Zafrul (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Bangunan Blok Utama Pejabat Kastam Alor Setar pada Ahad.
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Bangunan Blok Utama Pejabat Kastam Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM40.7 bilion pada tahun ini iaitu peningkatan kira-kira RM2 bilion berbanding jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pada tahun lalu JKDM berjaya mengutip sebanyak RM38.6 bilion walaupun dalam keadaan negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Katanya, beliau percaya Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abd Kadir mampu mencapai sasaran berkenaan pada tahun ini dengan bantuan kakitangan JKDM di seluruh negara.

"Penyumbang utama kepada cukai ini semestinya sektor ekonomi. Insya-ALLAH unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang tahun ini, berbanding tahun lepas KDNK menguncup sekitar 5.6 peratus.

"Pada tahun ini unjuran KDNK dijangka meningkat antara 6.5 hingga 7.5 peratus, ini sedikit sebanyak dapat membantu kutipan hasil kita daripada Jabatan Kastam," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Blok Utama Pejabat Kastam Alor Setar di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JKDM Kedah turut menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM1.2 bilion bagi keseluruhan negeri pada tahun ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pakej pembinaan bangunan utama JKDM Kedah bernilai lebih RM40 juta itu merangkumi blok utama, dewan serba guna, Pejabat Unit Narkotik dan Stor Penguatkuasaan.

"Prasarana tambahan ini sekali gus dapat memusatkan perkhidmatan Kastam Kedah yang sebelum ini terpisah di beberapa tempat sekitar Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya bangunan baharu ini suasana bekerja warga kastam akan menjadi lebih kondusif untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan," katanya.