Suhakam gesa kerajaan tangani ucapan kebencian, isu diskriminasi

Kenyataan Suhakam pada Ahad.
Kenyataan Suhakam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya melaksanakan dasar bagi menangani ucapan berunsur kebencian dan isu diskriminasi di negara ini.

Suhakam dalam kenyataan pada Ahad berkata, kerajaan juga boleh menyediakan platform terbuka untuk belia dan pelbagai lapisan masyarakat berbincang dan cara menanganinya.

Menurutnya, ia boleh dilakukan dalam bentuk dialog antara budaya dengan tujuan mempromosi sikap bertolak ansur dan hormat menghormati dalam masyarakat yang berbilang kaum serta budaya di Malaysia.

"Penggunaan media sosial telah disalah gunakan oleh sesetengah pihak untuk mengaibkan dan menyalahkan orang lain secara umum dengan serangan secara lisan, perkauman dan kenyataan xenofobia terhadap etnik-etnik serta kewarganegaraan tertentu.

"Majoriti daripada pengguna media sosial merupakan golongan belia dan tanpa bimbingan yang sewajarnya, ia akan memberi risiko memburukkan lagi perkauman dan sikap tidak bertolak ansur," kata kenyataan itu sempena Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.

Tema pada tahun ini “Belia Berdiri Teguh Menentang Perkauman” mengiktiraf peranan belia yang semakin meningkat dalam masyarakat dan dalam menentukan masa depan negara.

Kata kenyataan itu, Suhakam menekankan kepentingan untuk memupuk budaya bertolak ansur, kesaksamaan dan tiada diskriminasi dalam kalangan belia kerana mereka yang akan membina masyarakat yang adil, aman damai dan lestari pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Suhakam mengulangi seruan agar pihak kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Artikel Berkaitan:

"Ia dapat menjadi pemangkin kepada usaha lebih bersepadu untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira ras, warna kulit, keturunan, kewarganegaraan atau asal keturunan etnik," katanya.