Kerajaan perlu RM6 bilion untuk jaga, pelihara hutan: PM

 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memerlukan kira-kira RM6 bilion untuk mengekalkan kelestarian kawasan hutan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan di Malaysia adalah sangat besar.

"Sejak tahun 2016, seluas 1,859 hektar kawasan terosot telah dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta.

"Pada tahun ini pula, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM34.5 juta untuk kerja-kerja restorasi hutan terosot di seluruh negara.

"Saya menyeru kerajaan negeri melipatgandakan usaha untuk memulihkan kawasan hutan terosot melalui nature-based solutions terutamanya dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar," katanya pada Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini pada Ahad.

Menurutnya, sehingga tahun 2018, negara mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok.

Muhyiddin berkata, daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot.

"Walau bagaimanapun, kerajaan amat serius dalam pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan dalam melaksanakan program restorasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selari dengan usaha itu, pelbagai instrumen kewangan khusus telah diwujudkan oleh kerajaan.

"Ia termasuk Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional dan Tabung Amanah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan di bawah kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.