Menteri KKMM hasrat suntik vaksin bersama media

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhasrat untuk mengambil suntikan vaksin Sinovac keluaran China bersama pengamal media.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, tarikh untuk menerima suntikan vaksin tersebut masih lagi belum diberitahu.

“Saya dah tempah dan saya akan ambil vaksin Sinovac. Namun, saya minta kalau boleh nak ambil sekali dengan kumpulan wartawan. Tapi saya tak tahu bila lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jelajah Malaysia Prihatin di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Sentul pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya wartawan dan semua kru dimasukkan ke dalam senarai petugas barisan hadapan.

“Saya difahamkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa mereka tak boleh nak senaraikan kumpulan ini dalam kumpulan fasa pertama.

“Namun, mereka juga berusaha supaya wartawan dapat didahulukan.

”Mereka juga faham bahawa wartawan dan jurugambar semua turun padang dan bertemu dengan orang ramai. Ini berkemungkinan mereka juga boleh berjangkit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Mac lalu, Saifuddin mengesahkan beliau akan mengambil suntikan vaksin Sinovac keluaran China.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi meyakinkan kepada masyarakat bahawa vaksin Sinovac juga selamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!