Untung tak dapat, 'pelaburan' lesap

Pengawal keselamatan kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar kecil: Mohd Wazir
Pengawal keselamatan kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengawal keselamatan kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook pada Rabu lalu.

Mangsa berusia 33 tahun tertarik untuk menyertai pelaburan itu yang hanya memerlukan modal RM500, namun akan memperoleh keuntungan sehingga RM18,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghantar maklumat peribadinya melalui aplikasi WhatsApp atas nama seorang wanita bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai pelaburan tersebut.

Menurutnya, selepas dihubungi wanita tersebut, mangsa membuat bayaran RM500 pada Rabu lalu melalui akaun bank yang diberikan.

"Pada hari berikutnya, mangsa menghubungi wanita berkenaan untuk mendapatkan perkembangan pelaburannya sebelum dia dimaklumkan sudah memperoleh keuntungan RM18,000.

"Mangsa diberitahu sekiranya dia mahu wang keuntungan itu dibayar segera, bayaran RM2,880 akan dikenakan," katanya.

Beliau berkata, teruja dengan pulangan lumayan itu mangsa membuat bayaran seperti yang diminta, namun proses pembayaran gagal kerana mangsa perlu membuat bayaran tambahan RM5,610.

"Mangsa tidak mempunyai wang mencukupi untuk menjelaskan bayaran itu dan dia hanya membayar RM1,650.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan bayaran dibuat tidak mencukupi, proses tuntutan itu gagal dibuat dan mangsa mula curiga serta syak telah ditipu," katanya.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada Sabtu selepas gagal menerima hasil pelaburan sebagaimana yang dijanjikan.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis kini mengesan tiga individu termasuk dua wanita pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.