3 nelayan Indonesia diculik Abu Sayyaf di Sabah, diselamatkan

Tiga nelayan Indonesia diselamatkan selepas lebih setahun menjadi tebusan kumpulan militan Abu Sayyaf. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Tiga nelayan Indonesia diselamatkan selepas lebih setahun menjadi tebusan kumpulan militan Abu Sayyaf. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

JAKARTA - Tiga rakyat Indonesia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada Januari 2020 ketika menangkap ikan di perairan Sabah, Malaysia berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Filipina pada Khamis lepas (18 Mac).

Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, ketiga-tiga mereka yang berasal dari Kabupaten Wakatobi, Sulawesi Tenggara, dilaporkan sihat dan dalam proses untuk dihantar pulang ke Indonesia.

"Penyelamatan dilakukan pada Khamis petang di perairan Tawi-Tawi ketika bot yang digunakan kumpulan itu (Abu Sayyaf) yang membawa tiga warganegara Indonesia berkenaan, terbalik akibat dipukul ombak.

"Mereka (tebusan) cuba dipindahkan kumpulan itu dari Indanan, Sulu, ke tempat lain selepas terdapat operasi bersepadu pasukan keselamatan Filipina," demikian menurut kenyataan itu.

Tiga rakyat Indonesia itu kemudiannya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina sebelum dibawa ke Zamboanga, dan akan diterbangkan ke Manila untuk dihantar pulang ke Indonesia.

Tiga yang diselamatkan itu dikenali sebagai Arizal Kasta Miran, 30; Arsad Dahlan, 41 dan Andi Riswanto Hayano, 26.

Mereka merupakan antara lima nelayan warga Indonesia yang bekerja dengan majikan Malaysia yang diculik oleh kumpulan militan itu pada 16 Januari 2020 ketika berada di perairan Tambisan, Sabah.

Seorang daripada mangsa culik berkenaan, La Baa, 32, ditemukan mati dibunuh pada 28 September 2020 di Patikul, Sulu, Filipina, manakala nasib seorang lagi, iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, masih belum diketahui. - Bernama

Artikel Berkaitan: