Ahmad Zahid kecewa Parlimen terus tergantung

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan 'sains dan data'.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuat kuasa.

Namun menurutnya, sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

"Perlu ingat Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi. Parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya.

"(Ia) Merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara.

"Menjaga dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu berpandangan sudah tiba masa amalan demokrasi ini kembali dipulihkan juga dengan alasan 'sains dan data'.

Menurutnya, fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Kedua, ramai ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

"Ketiga, kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah pun dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup.

"Keempat, Ahli Parlimen Batu Pahat (Datuk Mohd Rashid Hasnon) beritahu dalam Facebook beliau telah lari sekeliling Parlimen sampai 'ketaq' lutut lari kelmarin," katanya.

Kata Ahmad Zahid, Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata demikian ketika melakukan gimik untuk acara 'Parliament Virtual Run 2021'.

"Ini bermaksud Parlimen adalah sebuah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.