'Survival' pengusaha bot penambang tradisional

Wan Mohd Alif memanggil penumpang untuk menggunakan perkhidmatan bot tersebut untuk ke Pasar Besar Kedai Payang ketika ditemui di jeti Seberang Takir. - Foto Bernama
Wan Mohd Alif memanggil penumpang untuk menggunakan perkhidmatan bot tersebut untuk ke Pasar Besar Kedai Payang ketika ditemui di jeti Seberang Takir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - “Bot nambang...bot nambang ke Pasor Payang. Dua riyal je,” (Bot penambang...bot penambang ke Pasar Payang. RM2 sahaja), jerit Wan Mohd Alif Muhaimin dalam dialek Terengganu bagi mendapatkan penumpang di jeti Seberang Takir.

Rutin itu berlaku sekitar 7.30 pagi dan adakala suara pemuda berusia 26 tahun itu disahut beberapa individu, tetapi pada kebanyakan masa ia hanya sekadar memecah kesunyian tanpa sebarang balasan dalam tempoh beberapa jam.

Pernah juga Wan Mohd Alif tidak memperoleh walau seorang penumpang meskipun telah lebih tiga jam menunggu, sama ada pada waktu pagi mahupun petang.

Namun, hidup masih perlu diteruskan.

Pergerakan dan kesungguhan Wan Mohd Alif dapat dilihat Ketua Bernama Biro Terengganu dan jurufoto, Mohd Khairul Fikiri Osman ketika membuat tinjauan di situ baru-baru ini bagi memahami perjuangan pengusaha bot penambang tradisional dalam berdepan situasi sukar sebegitu.

“Suatu ketika dulu, penumpang adalah dalam kalangan pekerja di pasar dan pelancong luar, merekalah yang akan menunggu ketibaan pemandu bot untuk menyusuri sungai. Sekarang, kita dikira bertuah jika ada lebih lima penumpang kerana kebiasaannya hanya dua hingga tiga orang sahaja. Itu pun menunggu hampir dua jam.

"Pernah juga tiada langsung penumpang, namun bot tetap perlu bergerak ke Pasar Payang dan dari situ (Pasar Payang) saya masih perlu menunggu lagi beberapa jam untuk membawa penumpang lain ke Jeti Seberang Takir. Adakala saya akan masuk ke dalam kawasan pasar untuk cari penumpang,” kata Wan Mohd Alif.

Wan Mohd Alif berkata, penularan wabak Covid-19 membuatkan keadaan semakin parah. Kemerosotan penumpang turut disebabkan penduduk tempatan memilih untuk ke bandar dengan kenderaan sendiri melalui Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Angkat.

Artikel Berkaitan:

Sejak tahun lepas, beliau dan beberapa pengusaha bot lain pernah berdepan situasi tiada langsung pendapatan dalam sehari atau maksimum mengutip RM15 sehari.

Walaupun begitu, amalan tradisional yang unik dalam berkongsi pendapatan berjaya menyelamatkan anak jati Seberang Takir itu dan 14 pengusaha lain dalam menempuh waktu sukar.

Katanya, jadual pergerakan bot akan ditentukan oleh ‘orang lama’ di situ dan tiada siapa membantah kerana telah memahami manakala jumlah pendapatan yang diperoleh adakala akan dikumpulkan pada sebelah petang untuk dibahagi sama rata atau kadar tertentu.

Bot penambang yang menghantar dan mengambil penumpang dari jeti Seberang Takir ke Pasar Besar Kedai Payang. - Foto Bernama
Bot penambang yang menghantar dan mengambil penumpang dari jeti Seberang Takir ke Pasar Besar Kedai Payang. - Foto Bernama

“Jika pada hari itu ada lima buah bot yang bergerak, kita akan kumpul jumlah duit yang diperoleh pada waktu petang. Jika bot saya peroleh RM50, ada kemungkinan bot lain peroleh RM70, RM40 ataupun RM30 dan kesemua wang tersebut akan dibahagi termasuk kos minyak diesel.

“Ia mungkin dilihat agak pelik oleh orang lain tetapi bagi kami di sini ia adalah berlandaskan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan hidup pengusaha lain. Tetapi, aturan itu kadangkala berubah jika kita memperoleh tempahan khas,” katanya.

Wan Mohd Alif mempunyai alasannya yang tersendiri untuk terus kekal dalam industri itu meskipun terpaksa melalui perjalanan sukar.

“Jika diikutkan, ramai juga yang nasihatkan supaya tidak teruskan pekerjaan ini...tetapi bagi saya, bot ini adalah jiwa saya, apatah lagi ia diwarisi daripada arwah datuk. Jika dibiarkan, bot akan ‘sakit’ dan tersadai. Saya beruntung kerana tidak perlu beli bot baharu yang berharga lebih RM120,000. Sudah 50 tahun usia bot ini,” katanya.

Menurut Wan Mohd Alif, arwah datuknya Hitam Taib merupakan pemandu bot penambang terkenal di situ dan kemudian diteruskan oleh bapa saudaranya Ali Muda bermula 1998 sebelum diserahkan kepada beliau sejak 2016 hingga kini.

Beliau yang mempunyai Sijil Penyelenggaraan Elektrik merupakan pengusaha bot penambang termuda di situ, yang rata-ratanya telah berusia lebih 60-an.

“Bot warisan ini telah dibaiki beberapa kali. Lebih RM14,000 telah saya belanjakan. Kena cat baharu tiga kali setahun, baiki enjin, beli jaket keselamatan, siapkan hon dan pasang lampu supaya boleh bergerak pada waktu malam.

“Dalam tempoh lima tahun ini, masih belum dapat pulangan modal. Macam mana hendak menyimpan jika pendapatan bulanan hanya sekitar RM500 hingga RM600 sebulan. Saya masih bernasib baik kerana belum berkahwin dan tidak mempunyai anak untuk disara,” katanya.

Sepanjang liputan tersebut, penulis dapat melihat tahap kesabaran tinggi yang dimiliki Wan Mohd Alif sedangkan kami sudah hampir berputus asa setelah mengambil masa yang sangat lama untuk mendapatkan penumpang.

Menunggu giliran bot Wan Mohd Alif bergerak telah mengambil masa lebih dua jam kerana perlu menunggu bot yang lebih awal ke Pasar Payang, balik semula ke jeti Seberang Takir, manakala tambahan sejam lagi diperlukan untuk beliau mendapatkan penumpang lain.

Wan Mohd Alif (kiri) membawa penumpang dari Pasar Besar Kedai Payang ke jeti Seberang Takir. - Foto Bernama
Wan Mohd Alif (kiri) membawa penumpang dari Pasar Besar Kedai Payang ke jeti Seberang Takir. - Foto Bernama

Dalam tempoh lebih tiga jam itu, masih tiada sesiapa kelihatan hingga kami membuat keputusan untuk bergerak ke Pasar Payang melintasi Sungai Terengganu dan tidak sampai 15 minit kemudiannya tiba ke destinasi.

Selepas itu, kami menunggu lagi di jeti Pasar Payang, dalam tempoh 20 minit, ‘rezeki’ Wan Mohd Alif tiba dengan permintaan empat penumpang dewasa dan seorang kanak-kanak untuk menyusuri Sungai Terengganu ke Seberang Takir.

Jumlah bayaran ulang-alik sebanyak RM18 (seorang dewasa RM4 dan kanak-kanak RM2) itu bukanlah jumlah yang banyak tetapi ia agak melegakan beliau kerana sekurang-kurangnya kos minyak diesel sebanyak RM20 sehari sudah berjaya dikutip dan ditambah dengan RM8 yang diterima pada waktu pagi.

Sehari bergerak dengan bot lebih empat kali (ulang-alik) dan menunggu giliran pergerakan bermula 7.30 pagi hingga 6 petang, dengan pendapatan keseluruhan RM26 bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

Tetapi kerana minat dan tekad, beliau teruskan juga berserta harapan akan ada perubahan pada industri pelancongan tidak lama lagi. - Bernama