Pegawai, kakitangan Kedutaan Korea Utara dihantar pulang

Bas yang membawa pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara ke KLIA.
Bas yang membawa pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara ke KLIA.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bas yang akan membawa pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk penerbangan pulang tiba di kedutaan di sini kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Difahamkan, bas yang membawa pekerja kedutaan tersebut akan berangkat ke KLIA untuk membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang yang dipercayai akan berlepas pada petang nanti.

Bendera Korea Utara di kedutaan didapati sudah pun diturunkan manakala papan tanda kedutaan turut ditanggalkan daripada pintu masuk kedutaan.

Laluan di hadapan kedutaan juga sudah ditutup dan dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia sejak pagi tadi.

Turut kelihatan hadir adalah wartawan dan agensi berita tempatan dan luar negara yang membuat liputan sejak pukul 7 pagi tadi.

Pada Jumaat, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara.

Ia susulan keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke Amerika Syarikat.

Pada 3 Mac lalu, seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai Mun Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.

ARTIKEL BERKAITAN Kedutaan Korea Utara diberi tempoh 48 jam tinggalkan Malaysia

Artikel Berkaitan: