X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Zii Jia tempah tiket final Seluruh England

Zii Jia bakal membuat perhitungan dengan Axelsen pada aksi final Seluruh England di Birmingham malam ini.
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus mencipta sensasi di bumi Birmingham apabila buat kali pertama mengesahkan kemaraan ke pentas final kejohanan Seluruh England.

Kejayaan itu hadir selepas Zii Jia menewaskan pemain Belanda, Mark Caljouw 21-13, 21-17 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Utilita Arena.

Pada aksi final malam ini, Zii Jia bakal membuat perhitungan dengan pemain handalan Denmark, Viktor Axelsen, sekali gus mengulangi aksi semi final kedua-dua pemain itu tahun lalu.

Axelsen yang tampil sebagai penyandang juara mara pentas ke final selepas menundukkan rakan senegaranya, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Zii Jia mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir pada Jumaat.

Kejayaan Zii Jia menyingkirkan Momota yang juga juara dunia edisi 2019 sekali gus menamatkan badi enam kekalahannya di tangan Momota sebelum ini.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia sebelum ini dikritik hebat ekoran prestasi hambarnya dalam tiga kejohanan termasuk Final Jelajah Dunia BWF di Bangkok, Thailand pada Januari lalu.

Pemain kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu juga sekadar melangkah ke separuh akhir Terbuka Switzerland awal bulan ini biarpun tampil sebagai pilihan kedua kejohanan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!