OKU hilang di kebun sawit ditemui selamat

Anggota bomba sewaktu melakukan misi pencarian. (Foto: Ihsan bomba)
Anggota bomba sewaktu melakukan misi pencarian. (Foto: Ihsan bomba)
A
A
A

KLUANG- Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dalam kebun sawit di Kampung Parit Salam, di sini akhirnya ditemui dalam keadaan selamat oleh penghulu mukim.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Ashraf Nur Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kehilangan mangsa yang berusia 46 tahun itu pada jam 8.41 pagi, Sabtu.

Susulan itu katanya, satu jentera LFRT dari BBP Renggam dengan kekuatan keseluruhan seramai sembilan anggota telah dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, kita mendapat maklumat mangsa telah sesat di dalam kawasan kebun sawit di Kampung Parit Salam.

"Operasi turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk setempat.

Misi mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba, polis, APM dan penduduk kampung. (Foto: Ihsan polis)
Misi mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba, polis, APM dan penduduk kampung. (Foto: Ihsan polis)

"Dua ekor anjing unit K9 Bomba dan seekor anjing unit K9 PDRM turut digunakan dalam misi pencarian," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa telah dijumpai oleh Penghulu Mukim Renggam di sebuah kedai di Taman Sri Bayu iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi pencarian.

Artikel Berkaitan:

Mangsa berada dalam keadaan selamat dan telah diserahkan kepada ahli keluarganya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 3.42 petang.