X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Kerajaan tangguh naik tarif air

Tuan Ibrahim (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Jabatan Parit dan Saliran Kota Belud, Jaffri Bahan (kanan) mengenai kawasan tambatan banjir yang akan dibina di sungai Tempasuk ketika melakukan lawatan di kawasan banjir dan projek tebatan banjir pada Sabtu.
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperhalusi masa yang tepat bagi melaksanakan tarif baharu air kerana tidak mahu membebankan rakyat pada ketika ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak kementerian telah membina satu sistem yang dikenali Mekanisme Penetapan Tarif Air (TSM) sebagai kaedah penetapan air yang telus, sistematik dan adil.

Jelasnya, TSM memainkan peranan penting iaitu penyeragaman struktur dan pelarasan kadar tarif air sedia ada.

“Bila saya masuk (kementerian) antara fokus kita adalah isu ini kerana perkara ini sudah lama, jadi kita kena bina sistem terlebih dahulu dan setakat ini kita masih belum mengumumkan sebarang kenaikan.

“Saya sebelum ini pun ada sebut dalam Parlimen, walaupun operator air asyik merayu untuk kenaikan tetapi di waktu rakyat tengah susah, kita tidak boleh bebankan rakyat. Walaupun sebenarnya kalau kenaikannya adalah RM1 ke RM2 contohnya, bagi orang yang pendapatan agak tinggi tidak ada apa pun sangat. Tetapi air yang kita minum itu mahal sangat sebenarnya. Jadi kalau boleh kita nak perkara ini diberikan pertimbangan oleh semua pihak.

“Cuma kerajaan akan pertimbang dan perhalusi balik berkenaan waktu yang tepat untuk melaksanakan perkara itu,” katanya dalam Wawancara Sinar Ahad di pejabatnya baru-baru ini.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, kerajaan memberikan jaminan bahawa pelaksanaan TSM itu nanti tidak akan membebankan rakyat terutama bagi golongan B40.

“Tetapi orang yang ada duit, kaya dan yang berpendapatan tinggi, mereka boleh bayar dan dalam Islam, ada perintah yang menyatakan bahawa ‘Ambillah harta orang kaya ini sebagai sedekah untuk tolong orang miskin dalam kalangan mereka’.

“Kita ambil harta orang kaya untuk tolong orang miskin dalam kalangan kita. Itu kaedah kita,” ujarnya.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Menurut beliau, penyeragaman tarif air menerusi TSM penting kerana terdapat negeri-negeri yang belum menyemak semula tarif air sejak 38 tahun.

“Contohnya, Pahang yang mana tarif airnya sudah 38 tahun tidak naik. Ini bukanlah soal kita nak bebankan rakyat tetapi kita kena rasional.

“Sebab bahan mentah makin naik, jadi loji dan alat-alat gantinya juga makin hari makin naik. Ini menyebabkan kos untuk rawatan air turut naik. Kita tahu buka air jernih, itu sahaja. Bila air keruh kita mengeluh tetapi kita tidak bayar kos sebenar untuk harga mendapatkan air jernih,” kata beliau.

Ditanya sama ada tindakan tersebut tidak popular dalam kalangan rakyat, Tuan Ibrahim menjelaskan tarif air tidak seragam dan menunjukkan jurang perbezaan yang ketara antara negeri-negeri.

“Pertama sekali saya lihat kenaikan ini tidak sama sebab ada negeri yang stabil dan mengenakan harga tinggi seperti Johor dan Pulau Pinang.

“Negeri seperti ini yang banyak industri, kos perkhidmatan air mereka akan ditampung oleh industri itu sendiri kerana harga penggunaan air industri lain adalah berlainan.

“Misalnya, harga penggunaan perkhidmatan air di sekolah, rumah ibadat dan rumah persendirian adalah berbeza. Jadi, sekarang ini tarif yang digunakan ini adalah tidak seragam,” jelas beliau.

Tuan Ibrahim turut membayangkan kenaikan tarif air lebih tinggi melibatkan negeri-negeri yang sudah lama tidak menyemak semula harga namun ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Bayangkan sudah 35 tahun tidak naik, bila naik sekali dan bandingkan dengan negeri lain yang dah tinggi mesti jauh beza. Sebab kos seperti bahan kimia hampir sama sahaja antara negeri-negeri. Jadi kita mungkin akan melaksanakannya secara berperingkat,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat kemungkinan ada negeri yang mengalami kenaikan antara lima hingga 15 peratus.

“Begitulah, (tarif air) tidak akan sama tetapi dengan TSM ini akan dibangunkan di seluruh negara tidak seperti dulu yang dilakukan mengikut negeri, bermakna ada negeri naik dan ada yang tidak naik.

“Jadi kita akan lakukan supaya penyelarasan tarif ini dapat kita laksanakan,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!