Hubungan AS-Rusia bergolak

A
A
A

DALAM era pasca-Perang Dingin hubungan AS-Rusia boleh dikatakan lebih baik berbanding pada zaman Perang Dingin, namun ia tidak bererti tiada masalah dan pertikaian. Rusia pernah menjadi musuh ketat Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dingin (1945-1991).

Hubungan AS-Rusia pulih pada 1990-an. Rusia di bawah pentadbiran Presiden Boris Yeltsin terpaksa berdepan masalah pertumbuhan ekonomi yang lembab dan pemulihan akibat kejatuhan Soviet Union.

Namun, sejak 2000, Rusia telah bangkit semula sebagai sebuah kuasa besar yang mampu mencabar hegemoni AS di bawah pentadbiran Presiden Vladimir Putin. Rusia telah bertembung AS dalam beberapa isu antarabangsa, antaranya banta-han Rusia terhadap rancangan AS untuk menempatkan stesen peluru berpandu balistik di Poland pada 2007 dan campur tangan Rusia dalam politik Ukraine serta pengambilan Crimea oleh Rusia pada tahun 2014.

AS dan Rusia telah bertembung dalam isu konflik di Syria. Presiden AS ketika itu, Presiden Barack Obama membantah tindakan Rusia menyokong rejim pemerintahan Presiden Bashar al-Assad. Selain itu, AS mendakwa Rusia telah cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 2016 dan 2020.

Terkini, hubungan AS-Rusia sekali lagi bergolak apabila Presiden Joe Biden telah bersetuju bahawa Putin adalah seorang 'pembunuh’ ketika wawancara dengan stesen berita ABC. Laporan perisikan AS mendakwa Putin bertanggungjawab atas penahanan dan kematian ketua pembangkang Aleksei A Navalny. Laporan perisikan AS juga mendakwa Rusia telah campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 dengan memberi soko-ngan kepada calon parti Republikan, Presiden Donald Trump mengalahkan Biden, calon parti Demokrat.

Ketika ditanya pemberita ABC, Biden telah memberi amaran bahawa Putin perlu 'membayar harga’ atas tindakan beliau. Namun, Biden tidak memperincikan apakah tindakan akan diambil terhadap Rusia.

Putin telah bertindak balas memanggil balik Duta Rusia, Anatoly I Antonov ke AS kembali ke Moscow. Dalam amalan diplomasi, tindakan memanggil balik seorang duta atau ketua perwakilan menandakan tahap ketidakpuasan dan bantahan yang tinggi terhadap kenyataan atau tindakan dilakukan oleh negara lain.

Sementara itu, Putin pula mengatakan AS adalah 'pembunuh’ sebenar kerana telah membunuh ramai orang ketika Perang Dunia Kedua dan pernah mengamalkan sistem perhambaan. Hubungan negatif antara Biden dan Putin bukan sesuatu yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Reaksi

Dalam salah satu pertemuan antara mereka, ketika Biden memegang jawatan Timbalan Presiden AS dan Putin sebagai Perdana Menteri Rusia, Biden telah berkata kepada Putin bahawa beliau 'tidak berjiwa’. Tindakan Biden memanggil Putin 'pembunuh’ telah mengundang reaksi daripada pemimpin antarabangsa, antaranya Presiden Turki, Presiden Recep Tayyip Erdoğan yang berpendapat Biden sebagai seorang pemimpin negara tidak wajar berkata demikian kepada pemimpin negara lain.

Namun, masih terdapat kerjasama antara AS-Rusia, misalnya pada Februari 2021, kedua-dua negara bersetuju untuk melanjutkan perjanjian pengurangan senjata nuklear baharu atau New Strategic Arms Reduction Treaty (New START) bagi tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerjasama AS dan Rusia dalam pengurangan senjata akan berkekalan jika kedua-dua pemimpin terus bermusuhan.

Pada Mac 2021, Setiausaha Negara, AS Anthony J Blinken telah membuat lawatan kerja tiga hari ke Jepun dan Korea Selatan yang merupakan sekutu AS di Asia Pasifik.

Objektif lawatan itu sebagai usaha untuk memperbaharui kerjasama pertahanan AS dengan sekutunya yang telah terabai ketika pentadbiran Trump.

Dunia kemungkinan akan menyaksikan kemunculan ‘Perang Dingin Baharu’ dengan kerjasama pertahanan antara Rusia dan China untuk mengimbangi hegemoni AS dan sekutunya Jepun, Korea Selatan, Australia serta India.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya