Lantikan menarik di BCorp

A
A
A

PELANTIKAN pengurus tabungan antarabangsa, Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BCorp Bhd berkuat-kuasa Selasa lalu mencipta sejarah tersendiri. Inilah kali pertama dalam sejarah BCorp sejak ditubuhkan pada 1984, melantik orang luar memegang jawatan tersebut.

Serentak itu, Abdul Jalil turut mencatat sejarah sebagai ketua pegawai eksekutif bukan Cina yang pertama bagi kumpulan syarikat milik usahawan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Bcorp atau lebih terkenal dengan jenama perdagangan, Berjaya adalah sebuah konglomerat pelbagai perniagaan yang merangkumi syarikat seperti Berjaya Sports Toto Berhad, Berjaya Land Berhad, Berjaya Food Berhad, Berjaya Assets Berhad, 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad and U Mobile.

Abdul Jalil yang berusia 38 tahun menjadi pengurus nombor tiga dalam kumpulan tersebut selepas Pengerusi Eksekutifnya, Vincent Tan, 69, dan anak beliau, Datuk Robin Tan Yeong Ching, 42, yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif.

Anak pesara kerajaan yang dilahirkan di Pahang itu sebelum ini ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Beliau meletak jawatan dalam kontroversi dan ketidakpatutan apabila semantik mengenai kelulusannya dipersoalkan pihak tertentu dalam PNB selepas sembilan bulan memegang jawatan.

Hal itu dipercayai berlaku apabila beliau mula menemui beberapa kepincangan dalam pelaburan PNB dan mencadangkan penyusunan semula pelabu-ran tersebut. Cadangan Abdul Jalil itu dipercayai menyentuh secara negatif kepentingan beberapa orang usahawan bumiputera yang syarikat mereka bergantung kepada pelaburan PNB untuk selamat.

Pelantikan beliau oleh kumpulan milik usahawan Cina itu menebus dan membersihkan imejnya yang tercemar akibat tindak-tanduk pengurusan PNB.

Artikel Berkaitan:

Ironinya sekarang, giliran PNB pula menanggung beban berita buruk apabila keluarga Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz didakwa terlibat dalam urusan perniagaan dengan pelarian jenayah 1MDB, Jho Low. Zeti bagaimanapun menafikan beliau dan keluarganya menerima sebarang wang haram daripada 1MDB.

Istimewa

Reaksi awal pelabur terhadap pelantikan Abdul Jalil cukup menggalakkan. Saham BCorp melonjak 18 peratus di Bursa Malaysia sehari selepas pelantikannya diumumkan.

Pelantikan Abdul Jalil juga boleh dianggap istimewa kerana bukan selalu eksekutif Melayu atau bumiputera dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat milik bukan Melayu. Lazimnya, eksekutif Melayu atau bumiputera dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Sepanjang pengalaman saya menulis mengenai ekonomi sejak tahun 1972, jarang sekali syarikat milik orang Cina atau India melantik orang Melayu ke jawatan tertinggi. Itu tidak bermakna pengurus Melayu tidak ada kelayakan atau pengalaman untuk memegang jawatan tinggi, namun itulah yang menjadi amalan.

Buat permulaan, majoriti pengurus Melayu lebih selesa bekerja dengan GLC atau GLIC, sementara kebanyakan syarikat bukan bumiputera pula, khususnya syarikat Cina mengamalkan kaedah perniagaan berkeluarga. Mereka hanya melantik ahli keluarga untuk memegang jawatan-jawatan penting.

Satu lagi yang ketara adalah eksekutif bumiputera hanya diambil untuk mengisi jawatan tertentu yang melibatkan kontrak atau konsesi yang diperoleh daripada kerajaan.

Jadi, pelantikan seorang eksekutif muda Melayu yang berprofil tinggi dan kontroversi oleh sebuah konglomerat milik usahawan Cina adalah satu perkembangan experimental yang menarik dan wajar dialu-alukan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara