Elak undang-undang bercelaru

Orang ramai perlu mendaftar MySejahtera sebelum memasuki sesuatu premis atau bakal berdepan kompuan RM10,000 jika gagal berbuat demikian.
Orang ramai perlu mendaftar MySejahtera sebelum memasuki sesuatu premis atau bakal berdepan kompuan RM10,000 jika gagal berbuat demikian.
A
A
A

LAPORAN muka depan Sinar Harian bertajuk 'RAKYAT GELISAH’ Selasa lalu (16 Mac 2021) tidak mengejutkan kerana sejak hari pertama undang-undang baharu kompaun RM10,000 dilaksanakan, perkara itu telah saya duga akan berlaku.

Di bawah tajuk berita 'Rakyat gelisah kompaun RM10,000’ di halaman dua, akhbar itu menyatakan bahawa selepas lima hari undang-undang baharu itu dikuatkuasakan, rakyat menganggapnya sebagai keterlaluan, tidak masuk akal dan mengelirukan.’Mengapakah reaksi orang awam terhadap undang-undang kompaun baharu itu begitu negatif sekali? Saya cuba mencari jawapannya.

Mengikut Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kompaun RM10,000 ke atas rakyat yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil adalah melampau.

Baginya, suatu undang-undang yang dibuat oleh kerajaan hendaklah mengambil kira keadaan dan kemanusiaan, tahap kesalahan yang dilakukan dan jangan sampai rakyat hilang keyakinan pada kerajaan.’ Saya setuju. Pengamal undang-undang sentiasa diingatkan bahawa suatu hukuman itu hendaklah setimpal dengan kesalahan (the punishment must fit the crime).

Kompaun RM10,000 mula dilaksanakan pada 11 Mac 2021 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. Di bawah Ordinan Darurat inilah, Seksyen 25 asal dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dipinda.

Dalam versi asalnya, Seksyen 25 itu menyatakan bahawa Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa olehnya... boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah akta ini...dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang yang tidak melebihi seribu ringgit.’Selepas peruntukan itu dipinda di bawah Ordinan Darurat itu, perkataan tidak melebihi seribu ringgit itu’ digantikan dengan perkataan tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi individu dan tidak melebihi lima puluh ribu ringgit bagi pertubuhan perbada-nan.’

Malangnya, semua naratif mengenai undang-undang kompaun itu sejak awal lagi sentiasa menyebutkan kompaun RM1,000’ dan sekarang kompaun RM10,000’. Naratif inilah yang salah dan telah mengelirukan semua pihak – bukan hanya orang awam, bahkan barangkali pegawai polis serta 'pegawai awam’ yang disebutkan dalam seksyen itu.

Naratif yang betul dan sepatutnya ditekankan setiap masa agar semua orang tidak keliru dan dikelirukan adalah sejumlah wang yang tidak melebihi...’

Artikel Berkaitan:

Peruntukan undang-undang itu juga tidak menyebutnya secara nyata tentang kesalahan berulang tetapi mengikut tafsiran Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, kompaun RM10,000 itu dikenakan hanya ke atas individu yang melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak.’ Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa pesalah yang dikenakan kompaun sebesar itu masih boleh mem-buat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 selepas rayuan dan alasan yang diberikan,” tambahnya lagi.

Dalam portal rasmi Kementerian Kesihatan (http://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/03/penggubalan-ordinan-darurat-pindaan-2021), saya temui ayat berikut – “Jangan terkejut jika anda dikompaun oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Bermula 11 Mac 2021, penguat kuasa PBT dan badan-badan berkanun diberi kuasa untuk menguatkuasakan pematuhan SOP bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan seterusnya membendung penularan Covid-19 dalam tempoh darurat. KKM telah meminda tafsiran 'pegawai diberi kuasa’ dengan memasukkan 'mana-mana orang yang sesuai’ pada Seksyen 2 (10) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.”Apa maksud amaran di atas itu? Maksudnya, orang awam perlu bersedia disoal siasat dan dikompaun oleh pegawai PBT serta pegawai-pegawai awam lain selepas 11 Mac.

Soalnya, apakah mereka ini telah diberi taklimat, latihan dan garis panduan bagaimana melaksanakan undang-undang baharu yang keras ini?

Mengikut laporan media, garis panduan mengenai prosedur pengkompaunan baharu ini disediakan hanya selepas tiga hari undang-undang baharu ini dilaksanakan.

Memperincikan

Dalam usaha awal meredakan kegelisahan rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu wartawan pada 16 Mac lalu bahawa kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan, isu itu akan dibincangkan’ dalam mesyuarat Jawa-tankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Cocid-19 pada hari berikutnya (17 Mac). Tambahnya lagi, sekiranya kesalahan yang dilakukan adalah kecil seperti tidak memakai pelitup muka, pesalah tidak wajar dikenakan kompaun RM10,000.

Sebelum itu, pada 12 Mac ketika bercakap dengan wartawan dalam satu sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Takiyuddin berkata, orang awam yang dikompaun RM10,000 itu tidak perlu menjelaskan denda serta-merta, sebaliknya boleh merayu dengan pihak diberi kuasa bagi mengurangkan jumlah kompaun.

Katanya lagi, jumlah kompaun yang ditulis atas notis saman bukanlah sesuatu yang muktamad kerana individu terbabit boleh membuat rayuan berdasarkan budi bicara pegawai yang diberi kuasa. (Kompaun RM10,000 tak perlu jelas serta-merta, boleh rayu - Berita Harian, 12 Mac 2021).

Andainya perkara yang disebutkan Takiyuddin itu tadi dimasukkan dalam naratif rasmi kerajaan sejak awal lagi, dijelaskan kepada orang awam dan semua pegawai polis serta pegawai awam yang diberi kuasa melaksanakan pengkompaunan itu, pastinya kegelisahan orang awam tidak timbul.

Tidak hairanlah kita bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa kesal dengan undang-undang baharu ini.

Menyifatkan kompaun yang besar itu sebagai 'tidak wajar’, beliau bertanya: “Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda?”

Ada dua pengajaran penting daripada isu kompaun ini. Pertama, elakkan menggubal undang-undang secara tergesa-gesa tanpa berbincang dengan semua pihak berkepentingan. Kedua, pastikan setiap hukuman itu setimpal dan bersesuaian dengan kesalahan.

Pada Isnin (15 Mac 2021), seorang pelajar berusia 17 tahun dari Batu Berendam, Melaka dikenakan kompuan RM10,000 kerana gagal mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera sewaktu memasuki kedai runcit dekat rumahnya bagi membeli ubat untuk ibunya yang sakit. Berapa ramai lagi di luar sana yang akan senasib dengannya?

* Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kini Timbalan Pengerusi Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)