Hari Puisi Sedunia hargai penyair

No Image Caption
A
A
A

DALAM majalah Dewan Sastera edisi April 2021, Zaen Kasturi menulis bahawa kita sering tidak meletakkan puisi pada tempat yang sepatutnya, sering kali mengabaikan peranannya dalam kehidupan yang ‘sejahtera dan berjiwa’.

Puisi hanya dipandang sebagai lua-pan emosi yang remeh atau paling tidak sebagai teriakan-teriakan protes. Itu sahaja. Anehnya, dalam keadaan-keadaan tertentu, puisi menjadi persinggahan sementara atau mungkin perhentian akhir bagi kewarasan kehidupan. Tatkala pembangunan menewaskan akal yang sihat dengan terlukanya alam, orang beralih melihat puisi.

Melumati buah fikir Zaen Kasturi mengingatkan saya pula kepada kata-kata Latiff Mohidin yang mengumpamakan kerja menukang puisi itu diibaratkan seperti membina sumur perigi di tanah gersang, bukan membina jambatan atau khemah. Perigi dibina dengan susunan batu-batu, selapis demi selapis sehinggalah menjadi perigi yang kukuh dan elok buatannya. Mungkin di situlah nanti, si pengembara jalanan akan singgah sebentar melepaskan dahaganya, mereguk, menghirup air sepuas-puasnya, semahunya atau mungkin juga tidak!

21 Mac merupakan hari keramat kepada penyair-penyair dunia, Hari Puisi Sedunia telah dinobatkan oleh UNESCO pada tahun 1999 sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap usaha-usaha merakyatkan acara baca puisi yang telah diadakan di seluruh pelosok desa dan kota, mula diterima segenap lapisan masyarakat.

Pemula pertama dan inspirasi pencetus Hari Puisi Sedunia ialah American Tesa Webb dalam pertengahan tiga puluhan abad yang lalu. Beliau mencadangkan agar Hari Puisi Sedunia disambut pada 15 Oktober sempena tarikh kelahiran penyair dan filosofi terkenal Rom, Virgil Maron. Cada-ngan penyair ini telah diterima oleh kerajaan Amerika dan pada tahun lima puluhan, gagasan sambutan ini telah meluas ke negara-negara Eropah.

Menyoroti kuasa besar dan wilayah puisi, UNESCO berhasrat agar puisi mampu menarik perhatian orang ramai. Untuk mencapai matlamat ini, adalah perlu untuk menggalakkan aktiviti rumah-rumah penerbitan yang cuba menyampaikan garis lirikal kepada pendengar biasa.

Puitis

Perkataan puitis dimaksudkan untuk menyatukan masyarakat seluruh dunia dalam mengejar kebaikan dan kedamaian. Media pula diharapkan sentiasa menyampaikan kepada khalayak, imej-imej puisi yang mengagumkan sebagai salah satu bentuk seni.

Puisi juga mempunyai misi yang tinggi untuk memelihara dan menyokong bahasa yang jarang-jarang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Penciptaan imej-imej dan larik puisi yang berkesan dan hidup dapat berkhidmat dalam pelbagai keadaan. Asas baris puitis ialah imejan komunikasi dengan orang lain, perasaan mereka sendiri, pemerhatian hidup dan pengalaman. Pengamatan dan ketelitian penyair sebagai penukil peristiwa yang benar sangat penting untuk mengembangkan perhatian yang lebih tinggi kepada realiti di sekelilingnya.

Setiap perubahan alam yang berlaku seperti pertukaran waktu dan warna hari, rintis dan rintik hujan pertama, bunyi tren yang berlalu, cahaya cinta yang gembira, air mata kanak-kanak malahan segala rakaman objek, subjek dan peristiwa boleh menjadi dorongan untuk mencipta karya sebagai manfaat kepada manusia yang lain.

Setiap manusia boleh berkarya dan menulis, malahan boleh mempelajari seni berirama dan meletakkan susun atur ayat-ayat itu sendiri. Tetapi untuk menghasilkan sebuah puisi yang nyata dan sampai kepada khalayak, seseorang itu perlu berupaya mengembangkan banyak kualiti berbeza dalam diri. Hari Puisi Sedunia digagaskan bukan sekadar untuk menggalakkan penuli-san puisi dan percambahan aktiviti sastera, namun meletakkan nilai puisi pada tempat yang lebih tinggi sebagai penguasaan seni berimpak tinggi dalam konteks wilayah sastera yang lebih besar dan menyeluruh.

Perkataan sastera sendiri bertujuan untuk menyentuh hati dan minda manusia, memperkaya mereka secara rohani. Kembali lebih dari satu kali apabila membaca rangkaian puisi Sergei Yesenin atau Omar Khayyam, kita tidak pernah berasa penat malahan pembaca biasa yang tidak bergelumang dengan sastera pasti terkejut dengan kekuatan bakat sastera, kecerahan imej dan keindahan perkataan yang digunakan dalam puisi-puisi mereka.

Kanvas kata

Pembaca mungkin akan terfikir dari manakah hadiah kebijaksanaan memilih diksi itu datang, memberikan kata-kata biasa dengan bunyi yang luar biasa. Bagaimanakah seseorang boleh mencurahkan jiwanya hanya dengan beberapa perkataan atau memberitahu kita tentang keindahan alam yang dilukiskan dengan cukup sempurna dalam kanvas kata?

Saya kerap kali juga ditanyakan bagaimanakah untuk menghasilkan diksi-diksi puisi yang baik? Jawapannya, membacalah. Bukan sekadar membaca, tetapi pilihlah karya yang betul dan berkualiti untuk dibaca. Apabila pembaca membaca puisi kegemaran mereka, mengagumi imej sastera dan dengan teliti memeriksa setiap baris ke baris, secara beransur-ansur mengembangkan rasa puitis dan keupayaan untuk bekerja dengan kata-kata. Pembaca dan pembelajar yang berbakat memperoleh keupayaan untuk mendengar bunyi halus alam, menerokai gelodak dan gejolak di sekeliling mereka dan bercakap tentang perasaan mereka dalam rumah-rumah ayat.

Garis-garis rhythm kesedaran realiti masa memberikan penyair berasakan penglibatan mereka sendiri dalam peristiwa semasa. Mewujudkan dalam diri, satu roh dan kuasa untuk menunjukkan seluruh dunia kebenaran hidup dan membawa mereka dari realiti yang besar kepada harapan yang lebih cerah.

Acara-acara sastera dikatakan acap digeluti mereka yang bosan dengan rutin harian, kotoran politik, kebobrokan dan ketidak adilan.

Hari Puisi harus dimanfaatkan sebaiknya oleh segenap kelompok dari pimpinan tertinggi di ibu kota hinggalah rakyat fakir di rumah kotak untuk saling melingkungi wilayah sastera sebagai wilayah kedamaian dan memberi keadilan buat semua.

Kuasa sihir kata puitis dapat memberi kesan besar kepada setiap manusia, persis ayat pertama dari seorang bayi. Ini benar-benar puisi terang dan paling indah.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia.