TM sedia sambungan Unifi percuma di Pekan Rabu

Tengku Zafrul (tengah) menyempurnakan Pelancaran Program Digital Pekan Rabu bersama TM di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar pada Sabtu.
Tengku Zafrul (tengah) menyempurnakan Pelancaran Program Digital Pekan Rabu bersama TM di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Telekom Malaysia Berhad (TM) memacu penerimaan digital dalam kalangan usahawan Pekan Rabu dengan sambungan Unifi berkelajuan tinggi secara percuma di Kompleks Pekan Rabu di sini selama setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar berkata, pihaknya memperluaskan sambungan jalur lebar Unifi 800 Mbps kepada komuniti usahawan berkenaan ke arah meningkatkan penerimaan digital kepada golongan tersebut.

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah mengubah gaya hidup orang awam dan memacu penerimaan digital dalam kalangan masyarakat dan perniagaan.

"Sehubungan itu, kami teruja untuk berganding bahu dengan kerajaan negeri dan Koperasi Pekan Rabu bagi menyediakan sambungan Unifi berkelajuan tinggi secara percuma di kompleks itu.

"Melalui inisiatif ini, kami berharap ia membolehkan usahawan mempertingkatkan lagi perniagaan mereka dengan penyelesaian digital," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum itu menyempurnakan Pelancaran Program Digital Pekan Rabu bersama TM di Kompleks Pekan Rabu di sini.

Sementara itu, Imri berkata, dengan adanya sambungan jalur lebar yang dinikmati lebih 300 usahawan Pekan Rabu itu, ia mengekalkan keaslian Pekan Rabu sebagai sebuah ikon dan lokasi yang harus dikunjungi di Kedah.

Menurutnya, pihaknya akan meningkatkan kemahiran usahawan Pekan Rabu menerusi sesi latihan mengenai aplikasi digital antaranya platform pemasaran digital menerusi cari@unifi dan Instaweb untuk penghasilan laman web.

Artikel Berkaitan: