Pearly, Thinaah tekad bangkit lebih menyerlah

Gandingan Pearly-Thinaah bertekad lakukan terbaik selepas mempamerkan prestasi membanggakan dalam saingan Kejohanan Seluruh England baru-baru ini. - Foto BAM
Gandingan Pearly-Thinaah bertekad lakukan terbaik selepas mempamerkan prestasi membanggakan dalam saingan Kejohanan Seluruh England baru-baru ini. - Foto BAM
A
A
A

BEREGU wanita negara yang semakin menyerlah, Pearly Tan dan M Thinaah, bertekad untuk melakukan yang terbaik dalam cabaran akan datang, susulan persembahan yang baik pada Kejohanan Seluruh England 2021 baru-baru ini.

Walaupun ia penampilan pertama mereka dalam kejohanan badminton tertua dunia berkenaan, ia tidak menjejaskan tumpuan pasangan bukan pilihan kejohanan itu, untuk melangkah ke peringkat ke suku akhir, sebelum tumpas 12-21, 22-20, 16-21 kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun, malam tadi.

Dalam pertembungan dengan pasangan Jepun itu pada hari Jumaat, pasangan yang baru dinobatkan sebagai juara Terbuka Switzerland itu bangkit kembali untuk mengheret perlawanan kepada set penentuan, sebelum tumbang.

Thinaah menggambarkan laluan mereka di Utilita Arena di Birmingham sebagai pengalaman yang amat mengujakan, dan berikrar akan berlatih dengan lebih tekun, selepas dapat mengenal pasti beberapa kelemahan yang menyebabkan mereka tewas.

“Rasanya saya buat beberapa kesilapan dan memberikan banyak mata kepada lawan malam tadi. Mereka cukup pantas dan agresif sepanjang perlawanan, sehingga dapat menewaskan kami di set penentuan, banyak yang kami belajar dari pertandingan ini,” katanya dalam satu petikan video yang dipaparkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di halaman Facebook pada Sabtu.

Mengulas kejayaan bangkit di set kedua, Pearly berkata, mereka saling membantu di saat penting perlawanan itu, yang menyaksikan mereka berjaya menundukkan beregu ke-12 dunia.

Harapan Malaysia untuk pingat kini kini disandarkan di bahu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

Zii Jia akan berhadapan dengan Mark Caljouw dari Belanda, manakala beregu campuran Peng Soon-Liu Ying akan berhadapan dengan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan suku akhir, Zii Jia menewaskan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun dengan 21-16, 21-19 dalam 55 minit, manakala Peng Soon-Liu Ying menewaskan pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, 17-21, 21-18, 22-20. - Bernama