Saarani sifatkan 100 hari sebagai MB umpama marathon

Saarani Mohamad (kanan) menyerahkan replika cek kepada guru Sekolah Kebangsaan Kampung Bongor Normawati Abdul Aziz (kiri) pada majlis Jamuan Mesra sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Kampung Bongor, Bersia, dekat sini hari ini. - Foto Bernama
Saarani Mohamad (kanan) menyerahkan replika cek kepada guru Sekolah Kebangsaan Kampung Bongor Normawati Abdul Aziz (kiri) pada majlis Jamuan Mesra sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Kampung Bongor, Bersia, dekat sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GERIK - Datuk Saarani Mohamad menyifatkan tempoh 100 hari beliau menduduki jawatan Menteri Besar Perak umpama perlumbaan marathon yang perlu diisi dengan pelbagai perancangan untuk menyempurnakan larian dengan jayanya.

Beliau berkata baginya kerja mentadbir negeri adalah umpama larian marathon, selain perlu lari secara berterusan, pelari juga perlu juga tahu selekoh mana yang perlu dipecutnya, dan selekoh mana yang perlu perlahan.

Katanya bagi pengurusan pentadbiran kerajaan, apa yang penting adalah aspek perbelanjaan walaupun dengan menggunakan sumber yang terhad, namun sepanjang pentadbiran ia perlu dipenuhi dengan pelbagai perancangan serta pengurusan yang rapi.

"Dalam sumber yang begitu terhad, jangan sampai kita berhutang. Walaupun dengan sumber terhad, kita masih boleh membayar gaji dan meluluskan projek-projek kecil, maknanya itu satu kejayaan dan bukannya ukuran kejayaan itu disukat dalam 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di majlis Jamuan Mesra Sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Kampung Bogor, Bersia dekat sini pada Sabtu.

Saarani, 59, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Disember lepas.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan Saarani berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di kawasan seluas 222 hektar bagi melaksanakan pelbagai tanaman di Kampung Bongor, dekat Bersia.

Menurutnya, kerajaan akan menjalankan temuduga untuk mendapatkan peserta yang layak, dan mereka yang berjaya boleh melaksanakan projek masing-masing atau menyerahkan tanah itu kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) atau Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) untuk menjalankan projek pertanian.

Artikel Berkaitan:

Saarani sebelum itu mengadakan majlis jamuan mesra di Sekolah Pondok Kholidiyah Jalan Refflesia sempena Program Mesra di Kampung Bongor dekat sini, dan berkesempatan menyerahkan surat hak milik tanah kepada 51 peneroka peringkat 4 di Felda Bersia. - Bernama