RM30 juta bina poliklinik dan masjid baharu di kem: Ismail Sabri

Ismail Sabri (kiri) bertanya khabar seorang anggota tentera ketika melakukan lawatan kerja ke Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para) Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus pada Sabtu.
Ismail Sabri (kiri) bertanya khabar seorang anggota tentera ketika melakukan lawatan kerja ke Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para) Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan dua projek pembangunan infrastruktur Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek pertama adalah sebuah poliklinik kesihatan bernilai RM25 juta yang akan memberi manfaat kepada warga tentera dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, poliklinik yang mula dibina pada Januari lalu itu akan dilengkapi kemudahan seperti klinik tentera, klinik keluarga, jabatan kecemasan, bilik x-ray dan sebuah makmal.

“Selain itu, kita juga membina sebuah masjid baharu dengan kos pembinaan kira-kira RM5 juta di sini.

“Projek pembinaan masjid ini sudah lima peratus berjalan dan ia mampu menampung 1,000 jemaah dalam kalangan anggota dan masyarakat awam luar kem.

“Kita akan bina pagar khusus sebagai laluan ke poliklinik kesihatan dan masjid untuk memudahkan orang awam menggunakan kedua-dua kemudahan ini,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para) Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Pada lawatan itu, Ismail Sabri turut menziarahi dua waris dan seorang anggota 18 RAMD (Para) yang mengalami keuzuran.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju menaik taraf 12 blok rumah anggota tentera di kem tersebut berikutan keadaannya yang sudah uzur kerana dibina sejak tahun 70-an.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, katanya, sebanyak 48 unit rumah sudah siap dinaik taraf, manakala baki 196 unit lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas peruntukan berjumlah RM11 juta diluluskan kerajaan.

“Dahulu polisi yang dibuat ialah rumah dua bilik tapi sekarang polisi baharu kementerian rumah mesti sekurang-kurangnya tiga bilik, tiada lagi dua bilik. Kita akan naik taraf rumah dari dua unit menjadi satu unit.

“Selain itu, dewan kem yang kini hanya mampu membuatkan 100 orang juga akan dibesarkan selepas bajet diluluskan,” katanya.