Kerajaan komited bantu sektor PKS: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (dua, kanan) berbincang seketika bersama Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa (kanan) ketika melakukan 'walkabout' selepas melancarkan Program Digital Pekan Rabu hari ini. Program Digital Pekan Rabu adalah satu inisiatif bagi menggalak peniaga kecil yang beroperasi di kompleks itu melakukan aktiviti perniagaan secara dalam talian. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (dua, kanan) berbincang seketika bersama Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa (kanan) ketika melakukan 'walkabout' selepas melancarkan Program Digital Pekan Rabu hari ini. Program Digital Pekan Rabu adalah satu inisiatif bagi menggalak peniaga kecil yang beroperasi di kompleks itu melakukan aktiviti perniagaan secara dalam talian. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Peranan serta sumbangan penting perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mendorong kerajaan untuk terus menyediakan pelbagai bentuk inisiatif bagi membantu memulihkan sektor tersebut.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor berkenaan juga merupakan penyumbang terbesar dari segi pekerjaan menerusi pembabitan 70 peratus tenaga kerja di negara ini.

“Banyak pakej ransangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini seperti Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat), Kita Prihatin dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) memberi fokus kepada PKS dan PKS mikro.

“Kita dapat lihat mereka memang agak terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas. Oleh itu, kita teruskan pertolongan menerusi peruntukan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Digital Pekan Rabu di sini, pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, inisiatif terbaharu kerajaan adalah pengumuman pelbagai bantuan tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi menyokong kelangsungan perniagaan PKS.

“Di bawah Pemerkasa, kerajaan menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program agensi-agensi yang telah diumumkan,” katanya.

Selain itu, merujuk program Digital Pekan Rabu, Tengku Zafrul menyifatkannya sebagai satu inisiatif menggalakkan peniaga kecil di kompleks perniagaan tersebut meningkatkan perniagaan secara dalam talian.

“Kita lihat jualan secara dalam talian ini meningkat sebegitu mendadak sekali terutamanya sejak Mac tahun lepas ketika PKP dilaksanakan. Justeru, kita tidak mahu ada PKS terutama PKS mikro yang ketinggalan (daripada mengambil peluang ini),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Digital Pekan Rabu merupakan inisiatif Telekom Malaysia Bhd (TM) menyediakan kemudahan Wifi percuma selama setahun untuk peniaga di kompleks tersebut menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, selain Wifi, pihaknya juga menyediakan aplikasi serta latihan untuk peniaga Pekan Rabu tersebut memanfaatkan platform pemasaran secara lebih berkesan.

“Selain di Kompleks Pekan Rabu, kita akan turut meneliti tempat-tempat lain yang memerlukan kemudahan perniagaan dan pemasaran secara digital, terutama usahawan mikro dan PKS,” katanya. - Bernama