MOM gugurkan keahlian MAHF

Nazifuddin (kanan) ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat ahli eksekutif MOM ke-196 di Wisma MOM pada Sabtu.
Nazifuddin (kanan) ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat ahli eksekutif MOM ke-196 di Wisma MOM pada Sabtu.
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Baling Malaysia (MAHF) digugurkan sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas gagal menyelesaikan hutang tertunggak sejak tiga tahun lalu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, tunggakan RM133,000 itu merangkumi perbelanjaan dan kos penyertaan atlet bola baling ke Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

“Kami sebulat suara menerima bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli MOM.

“Kami telah beri mereka peluang berbincang untuk membayar secara ansuran namun setakat ini tiada pembayaran diterima serta maklum balas dari pihak mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-196 di sini pada Sabtu.

Mohd Nazifuddin menegaskan keputusan dibuat berdasarkan kepada perlembagaan MOM dan memaklumkan bahawa MAHF perlu menyelesaikan hutang mereka jika mahu kembali sebagai ahli gabungan majlis itu.

“Kita tidak akan lihat penyertaan bola baling dalam Sukan SEA Vietnam, akhir tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Besbol Amatur Malaysia pernah dikenakan tindakan sama setelah gagal menyelesaikan tunggakan RM33,000 membabitkan bayaran kos penyertaan Sukan SEA 2013.

Bola baling dan besbol antara sukan di bawah Kategori B, yang mana mereka perlu menanggung keseluruhan perbelanjaan dan akan dibayar jika mereka meraih pingat pada penyertaan di temasya sukan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi mengelakkan perkara sama berulang, Nazifuddin berkata MOM memutuskan setiap penyertaan sukan kategori B perlu membayar dahulu sekurang-kurangnya 50 peratus apabila mahu menyertai kejohanan seperti Sukan SEA dan Asia.

“Bayaran 50 peratus lagi perlu diselesaikan sebelum atlet sukan Kategori B berlepas untuk menyertai temasya terbabit sekali gus mengelak daripada berlakunya masalah tunggakan,” katanya.

- Bernama