Banduan lolos di Kluang diburu polis

Banduan terlepas kini diburu polis.
Banduan terlepas kini diburu polis.
A
A
A

KLUANG - Seorang banduan berjaya melarikan diri manakala tiga lagi ditangkap semula dari Pusat Tahanan dan Penerimaan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, empat banduan lelaki itu melarikan diri pada jam 4.50 petang sebelum pegawai warden memaklumkan perkara itu kepada polis.

"Tiga banduan berjaya ditangkap semula manakala seorang tahanan lagi berjaya melarikan diri. Mereka merupakan banduan yang sudah dituduh di mahkamah.

"Mereka akan dihantar ke PLKN untuk tapisan keselamatan Covid-19 untuk 14 hari sebelum dihantar ke Ulu Choh, Pontian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, hebahan sedang dibuat petugas di lapangan dan Ops Tutup dijalankan di semua pintu keluar dan masuk di daerah ini.

Menurutnya, usaha mengesan suspek masih dijalankan anggota penjara anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

"Anjing pengesan K9 turut bersama-sama mengesan suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi 07-7784256, hotline 07-7766822 atau 014-3656822," katanya.

Artikel Berkaitan: