PKPD di Kampung Tringgus, Kuching ditamatkan esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak ditamatkan pada Ahad seperti dijadualkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 55 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak empat kes positif Covid-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak pada 21 Mac (Ahad) seperti yang dijadualkan," katanya dalam dalam kenyataan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak selama 14 hari bermula pada 8 Mac.

Sementara itu, seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pada Jumaat menerusi Op Benteng yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

Ismail Sabri berkata, satu kenderaan darat dan bot turut dirampas dalam operasi sama.

"Pihak berkuasa turut mengesan 128 buah bot di perairan negara dan sebuah kenderaan darat melalui sembilan aktiviti penglihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi keselamatan lain.

Selain itu katanya, sebanyak 262 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dijalankan di seluruh negara.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memberitahu seramai enam individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka membabitkan empat individu manakala dan dua lagi gagal menyediakan peralatan merekodkan diri atau pelanggan," katanya.