Kerajaan sedia pertimbang pengecualian cukai duti hiburan

Dari kiri; Ma Sivanesan Marimuthu, Koh Mei Lee, Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri semasa sidang akhbar selepas sesi pemantauan SOP di pawagam Golden Screen Cinema, Mid Valley Megamall pada Sabtu.
Dari kiri; Ma Sivanesan Marimuthu, Koh Mei Lee, Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri semasa sidang akhbar selepas sesi pemantauan SOP di pawagam Golden Screen Cinema, Mid Valley Megamall pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedia untuk mempertimbangkan pengecualian cukai duti hiburan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Namun begitu, beliau berkata, permintaan tersebut perlu dibuat secara rasmi untuk dilihat dengan teliti.

Menurutnya, ini kerana terdapat aduan dan cadangan mengenai perkara demikian, namun belum ada sebarang memorandum secara rasmi dihantar ke kementerian.

"Saya telah dengar aduan (kecuali cukai hiburan) ini sudah lama, namun sejak musim Covid-19 perkara ini semakin hangat dibincangkan. Soal cukai ini adalah PBT (pihak berkuasa tempatan).

“Setakat ini, ada permintaan tapi bukan secara rasmi. Saya alu-alukan jika permohonan rasmi dibuat dan kita sedia untuk berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) MidValley Megamall pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Adham Idham Ahmad Nadzri dan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM, Ma Sivanesan Marimuthu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, rakyat tidak perlu risau untuk keluar menonton pawagam, namun pada masa sama harus berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini kerana industri kreatif tidak termasuk dalam sektor utama kluster besar semasa Covid-19.

Katanya, pembelian tiket juga melalui dua cara iaitu secara dalam talian dan mesin kiosk bukannya melalui kaunter bersemuka.

“Oleh itu, rakyat jangan takut kerana kita tahu bahawa sektor pawagam dan filem serta studio tidak termasuk dalam kluster pandemik setakat hari ini.

“Saya berpuas hati dengan SOP yang ditetapkan dan rakyat juga tidak perlu risau.

“Kita akan meningkatkan kerjasama, berkongsi maklumat dalam sektor untuk melaporkan kepada perkara yang tidak mengikuti SOP,” katanya.

Tambah Saifuddin, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah mensyaratkan setiap aktiviti penggambaran diwajibkan untuk mempunyai seorang pemantau.

Dalam masa sama, menjawab persoalan industri kreatif dibenarkan, beliau berkata, terdapat 45,000 pekerja terlibat di dalam industri tersebut.

Katanya, ia turut melibatkan bidang nyanyian, drama, filem dan juga krew penerbitan.

“Ini adalah hiburan tapi bagi mereka yang terlibat, ini ialah punca pendapatan. Kalau kita tak izinkan, macam mana mereka nak cari makan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berharap lebih ramai masyarakat dapat membantu dalam membangunkan industri tersebut melalui menonton pawagam.

Pada 2 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, industri kreatif dibenarkan buka bermula 5 Mac.