'Mudahkan pembaharuan pasport Malaysia di Singapura'

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia perlu membuat dasar dan alternatif baharu bagi memudahkan proses pembaharuan pasport terutama rakyat Malaysia di Singapura ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin berkata, ia berikutan kesesakan dan kesukaran proses pembaharuan pasport rakyat Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura sekarang ini.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini. Merujuk kepada laporan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura hanya membenarkan seramai 30 rakyat Malaysia hadir untuk pembaharuan pasport.

"Saya dapati pejabat pesuruhjaya tidak mampu menampung beban kerja yang tinggi berbanding sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia di Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Media republik itu sebelum ini melaporkan berlaku kesesakan sehingga menyebabkan rakyat Malaysia di negara itu terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan pembaharuan pasport mereka.

Hong Pin berkata, isu pengurusan pembaharuan pasport berkenaan mengakibatkan rakyat Malaysia terpaksa menghadapi kesukaran itu dan sebahagian mereka berada di pejabat itu sebelum Subuh lagi.

Menurutnya, ada rakyat Malaysia yang perlu beratur selama lima jam bagi urusan pengambilan pasport meskipun janji temu sudah dibuat secara dalam talian.

"Saya juga prihatin terhadap kanak-kanak dan warga emas yang tidak dapat memperbaharui pasport mereka secara dalam talian seperti dilaporkan media di Singapura.

Artikel Berkaitan:

"Situasi sedemikian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang terkandas akibat penutupan

sempadan sejak tahun lalu," ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta Kementerian Luar Negeri (KLN) segera mengisi kekosongan jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura sejak 11 bulan lalu bagi melancarkan operasi pejabat berkenaan sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia di Singapura.

"Setelah setahun kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa khususnya di sempadan Malaysia-Singapura, kerajaan masih belum menemukan penyelesaian bagi memudahkan urusan rakyat seperti

pembaharuan pasport membabitkan mereka yang terkandas di luar negara," katanya.