X

Kindly register in order to view this article
!

RM3.9 juta naik taraf tali air KADA

Kamarudin (tiga dari kiri) dan Nik Roslan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada petani sempena Hari Ladang KADA Peringkat Jajahan Pasir Puteh di Tok Ajam, Selising, Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A

PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan sebanyak RM3.9 juta untuk kerja-kerja menaik taraf rangkaian tali air di jajahan ini terutama bagi mengatasi masalah bekalan air kepada pesawah terutama pada musim kemarau.

Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerja naik taraf itu melibatkan rangkaian tali air di kawasan bendang Tok Ajam, Kubang Puyu, Padang Pak Amat, Jakar, Panggung dan Wakaf Raja.

"Bila semuanya siap, ia dijangka mampu membekalkan sumber air di kawasan bendang seluas 240 hektar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ladang KADA Peringkat Jajahan Pasir Puteh di Tok Ajam, Selising di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Kamarudin berkata, kerja menaik taraf rangkaian tali air di bendang Tok Ajam yang dikenali sebagai sistem bekalan air kitar semula dijangka siap pada awal Oktober ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.1 juta.

Menurutnya, projek itu dijangka memberikan manfaat kepada petani yang mengusahakan 120 hektar padi di bendang Tok Ajam dan bendang Kubang Puyu.

"Kerja-kerja naik taraf rangkaian tali air yang melibatkan peruntukan bernilai RM1.8 juta di bendang Pak Amat, Jakar, Panggung dan Wakaf bermula sejak September tahun lalu akan siap pada penghujung Jun ini," katanya.

Menurutnya, projek di bawah tali air Padang Pak Amat dan Pak Che Man itu mampu menampung keluasan untuk 120 hektar petak sawah.

Selain itu, beliau berkata, KADA akan menyediakan telaga tiub dan penggunaan enjin pam sedut menerusi tali air berdekatan sekiranya berdepan dengan kemarau berpanjangan.

Bagaimanapun, beliau berharap musim panas tahun ini tidak teruk sehingga boleh menjejaskan para petani di bawah selian KADA.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!