30,000 akaun SADA terjejas Selasa ini

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 30,000 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) dijangka terjejas berikutan gangguan bekalan air dijangka berlaku selama tujuh jam bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada Selasa ini

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, gangguan terbabit susulan kerja-kerja pembaikan outlet Bukit Mengkuang dan kerja-kerja berkaitan.

Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Jalan Bukit Wang, Jalan Wang Tepus, Jalan Jitra ke Kodiang, Jalan Bukit Kawah, Jalan Bemban dan Jalan Jitra ke Changlun.

"Pengguna di sekitar Tunjang, seluruh Air Hitam, seluruh Megat Dewa, Kuala Jerlun, Kampung Tepi Laut Jerlun ke Kuala Sanglang juga akan terjejas susulan penyelenggaraan berjadual itu.

"Selain itu, kawasan Kuala Sanglang dan seluruh Sanglang serta sekitarnya juga dijangka mengalami masalah bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Katanya, pengguna dinasihatkan membuat persediaan awal, menyimpan air dan menggunakan air dengan bijaksana.

"Pihak SADA memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna di beberapa kawasan terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan: