Rugi RM64,207 angkara sindiket parcel scam

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Pegawai belian di sebuah syarikat pengimport logistik kerugian RM64,207 selepas terpedaya dengan sindiket Parcel Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berkenaan sebelum ini berkenalan dengan seorang lelaki melalui Instagram sebelum kedua-dua mereka bertukar nombor telefon dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, dalam perkenalan kira-kira sebulan, lelaki berkenaan memberitahu ada menghantar barang sebagai hadiah perkenalan mereka namun dia tidak diberitahu isi kandungan hadiah terbabit.

"Selepas beberapa hari, mangsa menerima emel dipercayai daripada syarikat kurier luar negara yang memintanya membuat pengesahan nama, alamat dan nombor telefon.

"Beberapa hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada ejen kargo menyatakan terdapat barang atas nama mangsa dan perlu melunaskan bayaran bagi proses mendapatkan barang tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Noorzainy berkata, teruja mendapatkan hadiah berkenaan wanita itu telah membuat lima kali transaksi pindahan wang berjumlah RM 64,207 ke dalam akaun yang diberikan ejen kargo tersebut.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila dia diminta lagi membuat bayaran namun tidak menerima barang yang dihantar itu.

Curiga dengan situasi itu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit," katanya.