KPDNHEP kumpul maklumat jamin bekalan mencukupi sepanjang Ramadan

Hasnol Zam Zam (atas dari kiri) pada penyerahan kunci kepada usahawan 'Food truck' pada Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya di sini pada Sabtu.
Hasnol Zam Zam (atas dari kiri) pada penyerahan kunci kepada usahawan 'Food truck' pada Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengumpul maklumat daripada semua rantaian pembekalan barangan makanan di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang Ramadan mencukupi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya sedang memantau status bekalan di semua peringkat pengilang, peladang, pemborong dan peruncit.

"Setakat ini, kita akan memastikan bahawa tahap barang disediakan itu sama ada barang import atau pun ternakan, tanaman berada pada tahap yang bersesuaian dengan keperluan semasa musim perayaan seperti tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Hasnol Zam Zam berkata, pihaknya juga akan memastikan makanan serta keperluan asas berada dalam keadaan stabil bukan sahaja pada musim perayaan tetapi pada setiap masa.

"KPDNHEP bertindak agresif memberi jaminan bekalan mencukupi pada setiap masa meskipun berdepan dengan kesukaran akibat pandemik Covid-19 seperti perniagaan terjejas, ladang ditutup, nelayan tidak keluar laut dan sebagainya," katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336, Hasnol Zam Zam berkata, pihak syarikat terbabit menyasarkan sebanyak 50 outlet baharu dibuka dalam tempoh 24 bulan di sekitar Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, selepas tiga bulan dilancarkan, syarikat terbabit berjaya melancarkan sistem pandu lalu tersendiri yang memperkenalkan produk minuman tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, syarikat juga menyasarkan sebanyak 100 perniagaan 'food truck' kepada rakan usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan," katanya.