Fitnah bertujuan cemar imej baik Muhyiddin: Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melantik ejen untuk memperoleh komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan fitnah bagi mencemar imej baik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, strategi memfitnah memang sudah lama diamalkan oleh parti pembangkang dan kini diteruskan dengan usaha tersusun untuk mencemar nama baik Perdana Menteri.

Beliau menegaskan tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes IMDB dan Goldman Sachs disifatkan sebagai strategi ‘character assasination’ terhadap Perdana Manteri yang terbukti seorang pemimpin yang dihormati dan tegas memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat.

“Saingan politik beliau sedang cuba merosakkan imej ini dengan tohmahan yang bertubi-tubi kerana mereka tahu mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri yang lain.

“Mereka tidak ada calon Perdana Menteri yang prihatin rakyat, bersih, berwibawa dan berintegriti seperti Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebuah portal berita melaporkan pejabat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, wang itu didakwa adalah komisen bagi membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Dakwaan itu, menurut ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin, menjadi tular di media sosial minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Wan Saiful, berkata sebagai ahli Biro Politik dan Jawatankuasa Pengurusan Bersatu, beliau tahu semua dakwaan tersebut tidak berlaku.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komision diterima. Ini bukan budaya kami dalam Bersatu,” katanya.

Menegaskan Bersatu ditubuhkan untuk memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus, Wan Saiful berkata, komitmen parti dan kerajaan adalah untuk memastikan kes 1MDB dapat diselesaikan segera.

“Semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, Goldman Sachs akan membayar wang tunai AS$2.5 bilion (RM10.26 bilion) dan memberi jaminan pemulangan sekurang-kurangnya US$1.4 bilion (RM5.75 bilion) yang dirampas kerajaan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB. - Bernama