Jadikan Islam contoh terbaik cara hidup

Tun Zaki (tiga, kanan) beramah mesra dengan Ramlee Awang, 54 (dua, kanan) dan isteri, Rozanah Ab. Rajab, 50, (kanan) yang mewakili anak mereka, Nurnadiana Ramlee yang meninggal dunia akibat penyakit kulit. - Foto Bernama
Tun Zaki (tiga, kanan) beramah mesra dengan Ramlee Awang, 54 (dua, kanan) dan isteri, Rozanah Ab. Rajab, 50, (kanan) yang mewakili anak mereka, Nurnadiana Ramlee yang meninggal dunia akibat penyakit kulit. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Isu sensitiviti mengenai agama dan perkauman yang berlaku di Malaysia perlu dimurnikan secara berhemah untuk menonjolkan rahmat agama Islam itu, kata Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia,Tun Zaki Azmi.

Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara berkata dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia pada masa kini, umat Islam perlu mempunyai adab bertoleransi dengan masyarakat bukan Islam.

“Inilah cabaran kepada umat Islam pada hari ini khususnya di negara Malaysia yang tinggal dalam masyarakat majmuk. Kewarasan dengan ilmu penting dalam menyantuni masyarakat bukan Islam agar Islam dapat dijadikan contoh yang terbaik sebagai cara hidup.

“Masyarakat Islam yang mendominasi populasi rakyat di Malaysia perlu bijak untuk berdakwah kerana imej dan persepsi negatif yang dipaparkan oleh media massa mengenai Islam perlu disantuni dengan menonjolkan keindahan Islam terutama dalam aspek budaya kerja cemerlang seperti disiplin, amanah, menjaga masa, kebersihan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat sehubungan dengan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights dekat Subang Jaya, awal pagi Isnin lalu.

Beliau juga berkata ilmuan Islam dalam dalam pelbagai bidang perlu bekerjasama untuk membina kembali reputasi Islam yang positif mengikut bidang masing-masing seperti kegemilangan Islam pada zaman Andalusia yang merupakan sejarah yang perlu direnungi dengan rasa keinsafan.

“Tokoh hebat ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al Khawarizmi, Al Farabi dan lain-lain lagi merupakan contoh betapa tamadun Islam telah membawa cahaya kepada kemajuan dunia.

“Inilah cabaran kepada Saintis dan Ilmuan Islam pada hari ini untuk bangkit semula membuktikan kepada dunia bahawa Islam itu merupakan lambang kemajuan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: