'Akar umbi lebih suka BN jadi kerajaan di Negeri Sembilan'

Ismail (dua dari kanan) membantu mengisi minyak motosikal yang diberi secara percuma kepada 200 pemilik motosikal dalam Program Bersama Tok Mat di Ampangan, Seremban pada Sabtu.
Ismail (dua dari kanan) membantu mengisi minyak motosikal yang diberi secara percuma kepada 200 pemilik motosikal dalam Program Bersama Tok Mat di Ampangan, Seremban pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO perlu menang sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Seremban bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kekalahan UMNO dan BN di semua kerusi DUN di Parlimen Seremban pada PRU14 adalah sesuatu yang menyedihkan, namun beliau yakin keputusan itu boleh berubah pada PRU15.

"Ini boleh kita lakukan kerana apa yang saya tengok hari ini rakyat sudah tidak lagi menerima PH. Akar umbi lebih suka kerajaan BN kembali memerintah Negeri Sembilan.

"Untuk itu kita perlu kerja kuat. Kita kekurangan tiga ke empat kerusi hari ini dan sebahagiannya daripada Parlimen Seremban," katanya kepada pemberita pada Program Bersama Tok Mat di Ampangan di sini pada Sabtu.

Beliau sehubungan itu berkata, UMNO akan memberi tumpuan kepada kerusi DUN Lenggeng yang pertama kali menyaksikan BN menerusi calon UMNO tewas kepada PH pada PRU14.

Beliau bagaimanapun berkata, DUN Sikamat dan Ampangan pula berbeza kerana kerusi berkenaan disebut sebagai 'swing seat' kerana sering bertukar ganti antara BN (UMNO) dan parti lawan.

"Hanya kerusi DUN Lenggeng sahaja yang belum pernah 'tercemar' melainkan pada PRU14. Jadi kita boleh rampasnya semula sekiranya kita kerja kuat.

"Macam DUN Sikamat pula, kita sudah kalah tiga penggal. Bukan kita kata tak boleh menang tapi kerusi itu sudah agak lama kita 'hilang'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai kesediaan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berunding dengan UMNO berhubung pembahagian kerusi, beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan berpegang kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menolak untuk kerjasama dengan PN atau Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada PRU15.

Bagaimanapun katanya, dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini memungkinkan apa saja berlaku dan beliau tidak menolak sekiranya terdapat rundingan lain pada masa depan.

"Tapi rundingan itu tidaklah seperti mana yang berlaku dahulu apabila kita menubuhkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa. Kita tak sempat runding pun.

"Akibatnya timbul rasa tidak puas hati. Saya bukan kata ia tak bagus tapi ketidakpuasan hati itu menjadikan keadaan hari ini agak 'jarak' sedikit," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan kenyataan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith bahawa PN Negeri Sembilan yang dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan bersedia berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

ARTIKEL BERKAITAN: Eddin akui Bersatu, Pas dan Gerakan di NS tidak kuat