X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat pendidikan dan vokasional Xingjiang ikut undang antarabangsa

Seminar dalam talian ‘Xinjiang is a Wonderful Land’ yang dihoskan Kedutaan China dan Wilayah Autonomi Xinjiang pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Pemerintah Xingjiang mengulangi penafiannya terhadap kewujudan pusat tahanan yang melibatkan etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam di wilayah tersebut.

Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur, Shohrat Zakir sebaliknya berkata, apa yang didakwa oleh media luar itu merupakan pusat pendidikan dan vokasional untuk kumpulan ekstremis yang mana ia berlandaskan kepada undang-undang antarabangsa.

“Pusat pendidikan dan vokasional yang ditubuhkan itu adalah mengikut perundangan. Secara asasnya ia tiada beza daripada program yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam usaha memberi pendidikan kepada individu yang berfahaman radikal.

"Sehingga Oktober 2019, semua pelatih dari pusat latihan tersebut telah menamatkan pengajian dan sehingga kini, mereka telah memperoleh pendapatan yang stabil dan berupaya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Tuduhan bahawa kononnya pusat latihan itu telah menahan sejuta etnik Uighur adalah tidak berasas seperti tuduhan pembiayaan keganasan ke atas mereka,” katanya ketika menjawab soalan pada seminar dalam talian ‘Xinjiang is a Wonderful Land’ yang dihoskan Kedutaan China dan Wilayah Autonomi Xinjiang pada Jumaat.

Menurutnya, segala dakwaan yang dibuat oleh ahli politik dan media luar berkenaan dengan spekulasi wujudnya kem tahanan di wilayah tersebut dibuat dengan bermotifkan politik.

Kata Zakir, laporan media Barat mengenai pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di pusat tersebut di samping tindakan keganasan keganasan kerajaan terhadap wanita juga tidak benar sama sekali.

Jelas beliau, Xinjiang menekankan kepada prinsip hak asasi manusia berlandaskan undang-undang dalam usahanya membanteras dan mengekang keganasan keganasan dan ektremisme.

Sementara itu, Zakir berkata, Xinjiang merupakan wilayah yang menjadi tumpuan kepada usaha untuk membanteras keganasan dan ekstremisme di China.

"Sebelum ini, Xinjiang telah dicemari dengan isu keganasan dan ektremisme kalangan penduduk.

"Antara tahun 1990 hingga 2016, keganasan ekstremisme kalangan penduduk di perkampungan meningkat seperti kejadian pengebom bunuh diri dan rusuhan di Xinjiang menyebabkan jumlah kematian yang besar dalam kalangan mereka yang tidak bersalah termasuk ratusan anggota polis," ujarnya.

Sehubungan itu, Zakir berkata, usaha membanteras ekstremisme di Xinjiang perlu dipertingkatkan demi keamanan di wilayah tersebut.

"Dengan kerjasama antarabangsa dan strategi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui resolusi antikeganasan, Xinjiang berusaha keras untuk membanteras aktiviti keganasan yang melanggar hak asasi manusia, keselamatan awam dan menggugat perpaduan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!