20,000 rumah mampu milik untuk anggota tentera

Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli persatuan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Ketereh Kali Ke-27 di Kota Bharu pada Sabtu.
Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli persatuan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Ketereh Kali Ke-27 di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Rumah mampu milik yang akan dibina menerusi skim Residensi Prihatin turut memberi manfaat kepada anggota tentera apabila sebanyak 20,000 unit diperuntukkan kepada kumpulan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut adalah daripada keseluruhan 40,000 unit rumah mampu milik yang akan dibina.

Beliau berkata, rumah berharga RM200,000 itu mempunyai keluasan 750 hingga lebih 1,000 kaki persegi dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik serta dua bilik air.

"Rumah bagi pegawai dan anggota tentera akan dibina berdekatan dengan kem tentera bagi memudahkan mereka untuk ke tempat kerja.

"Kementerian Pertahanan sudah mengangkat syor (pembinaan rumah) kepada Jemaah Menteri dan Dewan Bandaraya," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Ketereh Kali Ke-27 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, projek berkenaan sudah mendapat kelulusan awal dan tanah tertentu sudah pun dikenal pasti.

Menurutnya, tanah berkenaan termasuk di Sungai Besi dan Setapak, Kuala Lumpur memandangkan ia berdekatan dengan kem tentera.

"Pembinaan rumah ini dijangka akan mengambil masa tiga sehingga lima tahun. Rumah mampu milik itu bagi membantu pegawai dan anggota tentera untuk memiliki rumah," katanya.

Artikel Berkaitan: