UMNO tidak boleh guna satu formula untuk menang PRU15

Ismail Lasim
Ismail Lasim
A
A
A

SEREMBAN - UMNO tidak boleh menggunakan satu formula sahaja untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ismail Lasim berkata, situasi pengundi dan politik di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini adalah berbeza.

"Bagi saya tiada satu formula untuk semua. Formula ikut kawasan masing-masing.

"Misalnya (di Negeri Sembilan),UMNO menggunakan satu formula di Kuala Pilah tetapi formula sama tidak boleh digunakan di Seremban kerana struktur pengundinya berbeza," katanya kepada pemberita pada Program Bersama Tok Mat di Ampangan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan UMNO Perlis menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tegas mahu menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mengukuhkan hubungan dengan Pas, meskipun mungkin terpaksa mengakhiri hubungan dengan kepimpinan UMNO Pusat.

Sementara itu, Ismail berkata, terdapat kawasan yang mungkin akan menyebabkan UMNO kalah pada PRU15 sekiranya tiada rundingan yang baik dengan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau bagaimanapun berkata, secara dasarnya UMNO Perlis tidak sepatutnya membuat keputusan sedemikian kerana keputusan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 merupakan keputusan MKT.

"Keputusan MKT adalah keputusan besar dan hanya boleh diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Walaupun nampak keputusan UMNO Perlis itu berbeza, tapi kita tengoklah selepas PAU nanti, baru boleh kita pastikan situasi sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita mungkin boleh cakap Datuk Shahidan itu berani, tapi bagi saya, kita kena tengok juga suasana di tempat masing-masing," katanya.