Kedutaan Korea Utara jadi tumpuan media tempatan, asing

Pemberita berkumpul di luar Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai di Bukit Damansara sejak awal pagi. - Foto Bernama
Pemberita berkumpul di luar Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai di Bukit Damansara sejak awal pagi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak pengumuman Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, kedutaannya di Jalan Batai di Bukit Damansara menjadi tumpuan media tempatan dan asing.

Seawal 7.30 pagi pemberita sudah berkumpul di luar kedutaan dan setakat 11 ​​pagi Sabtu kira-kira 40 petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat menunggu di luar kedutaan, selepas Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik Korea Utara dan tanggungan supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 Jam.

Wartawan Bernama di luar kedutaan menyatakan beberapa individu dipercayai kakitangan kedutaan dilihat memasuki bangunan seawal jam 8.15 pagi. Kedutaan dikatakan mempunyai kira-kira 20 kakitangan dan tanggungan.

Kira-kira 10.20 pagi, sebuah van dipercayai membawa beberapa pegawai perubatan dari hospital swasta dilihat memasuki bangunan kedutaan mungkin untuk melakukan ujian calitan Covid-19 kepada mereka yang akan pulang ke Pyongyang.

Wartawan di luar kedutaan memetik sumber menyatakan kakitangan dan tanggungan mereka kemungkinan besar akan berlepas pulang ke Pyongyang esok melalui Beijing.

Terdapat pergerakan kenderaan masuk dan keluar dari bangunan kedutaan sehingga pintu pagar ditutup pada 12.30 tengah hari. Sebuah kereta peronda polis dengan dua anggota dilihat turut berada di luar kedutaan.

Kedutaan itu dikendalikan Kuasa Usaha, Kim Yu Song. Duta terakhir Korea Utara ke Malaysia ialah Kang Chol yang diusir pada 2017 atas kenyataan provokatifnya berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Percubaan Bernama untuk menghubungi Yu Song dan Kaunselor Song Ki Chol sejak Jumaat tidak berhasil.

Artikel Berkaitan:

Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) amat kesal dengan keputusan Korea Utara dan akan menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia juga akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan di Kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam mulai Jumaat. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Korea Utara putuskan hubungan dengan Malaysia

Kedutaan Korea Utara diberi tempoh 48 jam tinggalkan Malaysia