KPPK yakin Pemerkasa mampu lonjak sektor agrikomoditi negara

Gambar kecil: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Gambar kecil: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin strategi pemulihan ekonomi di di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bakal melonjakkan sektor agrikomoditi negara.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dana tambahan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) yang diperuntukkan di bawah Pemerkasa juga dijangka dapat membantu KPPK mencapai sasaran eksport sawit 2021 iaitu sebanyak RM75 bilion berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan.

"Ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara.

"Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta.

Khairuddin berkata, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.

Selain itu, katanya, Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi selepas ini oleh KPPK bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

"Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran, namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: