Filem dayak cipta sejarah, diiktiraf di peringkat antarabangsa

No Image Caption
A
A
A

FILEM indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Kejayaan filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd yang mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila diumum menerusi laman sesawang WFC Singapore pada Khamis (18 Mac).

Lebih istimewa, filem yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, berkata idea untuk membuat filem itu bermula sejak 2016 melalui kolaborasi dengan penulis skrip Misha Minut yang juga penerbit bersama berasal dari Limbang, Sarawak.

“Asalnya, ia adalah cerita pendek tetapi diubah menjadi sebuah filem. Kita tahu, tidak banyak cerita Dayak yang ditayangkan di pawagam. Jadi, terniat di hati saya menerbitkan sebuah yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak," katanya kepada Bernama.

Lebih menarik, katanya, filem itu turut diwarnai dengan gabungan bahasa Iban dan bahasa Melayu selain babak pertempuran.

"Uniknya filem ini kerana ia menerapkan unsur-unsur budaya dan adat orang Dayak selain perlu menggunakan bahasa Iban dalam beberapa dialog," katanya penerbit berusia 44 tahun.

Selain itu, Ray berkata filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Rusia dalam dua kategori iaitu Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menanti penuh debaran sama ada bolos untuk penyertaan dan pencalonan dalam filem festival di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, New Zealand, Australia, Jepun dan Paris dalam beberapa bulan ini," katanya.

Belaban Hidup: Infeksi Zombie menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.

Filem yang diedarkan Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan menjelang akhir tahun ini. - Bernama