Manfaat semula kemudahan bernilai RM20 juta

Rumaizi (kanan) ketika melawat Pincer di Bandar Meru Raya, di sini pada 18 Mac lalu bagi melihat kemudahan yang ada di pusat tersebut.
Rumaizi (kanan) ketika melawat Pincer di Bandar Meru Raya, di sini pada 18 Mac lalu bagi melihat kemudahan yang ada di pusat tersebut.
A
A
A

IPOH - Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (Pincer) di Meru Raya yang bernilai RM20 juta akan diaktifkan semula bagi memastikan industri kreatif di Bandar raya Ipoh terus berkembang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bagi tujuan berkenaan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memanfaatkan kemudahan di Pincer.

Menurutnya, usaha mengaktifkan semula Pincer itu selaras kehendak semasa dalam era teknologi media sedia ada selain memberi peluang kepada penggiat seni tanah air terus berkarya.

"Bangunan ini telah dilengkapi dengan pelbagai peralatan berteknologi tinggi seperti studio, reka bentuk industri, kemudahan pengajaran, panggung teater mini, bilik darjah dan galeri.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan Perak, PKNP dan syarikat penerbitan media elektronik bagi merealisasikan perancangan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Rumaizi pada 18 Mac mengadakan lawatan rasmi ke Pincer, Meru Raya, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perak Industrial Resources Sdn Bhd (PIRSB), Abdul Rahim Bohari@Bahari mewakili PKNP dan Ketua Eksekutif Luncai Emas, Sham Ali Hussin.

Menurutnya, Pincer yang dimiliki PKNP dijangka memulakan operasi pada penghujung tahun ini namun bangunan itu perlu melalui beberapa fasa baik pulih sebelum boleh digunakan.

"Pincer menyediakan perkhidmatan khusus dalam pengeluaran muzik, rakaman suara, rakaman multimedia dan perkhidmatan audio.

Artikel Berkaitan:

"Kemudahan ini akan digunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk melahirkan seni kreatif malah mampu menjana ekonomi penggiat seni dan secara tidak langsung untuk negeri," katanya.

Beliau berkata, industri kreatif yang merangkumi pelbagai elemen seni harus menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar maju sebagai bandar kesenian.