Remaja sesat ketika berbasikal di Gunung Tahang Rimau

Remaja lelaki berkenaan berjaya diselamatkan anggota bomba yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.
Remaja lelaki berkenaan berjaya diselamatkan anggota bomba yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila terpisah daripada rakannya sewaktu berbasikal di Gunung Tahang Rimau, Labis pada pagi tadi.

Lebih malang, remaja berkenaan bukan sahaja tersesat malah turut mengalami kecederaan setelah terjatuh di dalam kawasan kebun sawit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.53 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera LFRT dan satu jentera EMRS dari BBP Labis dengan kekuatan keseluruhan tujuh orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian dan diketuai Komander Operasi, PBKII Sharfini Nasar.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, kita mendapat maklumat mangsa telah terpisah dari kumpulan berbasikal dan tersesat.

"Bomba telah melakukan teknik pencarian dengan dibahagikan kepada dua kumpulan di dalam kawasan kebun sawit seluas empat ekar.

"Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dua kilometer dari jalan utama dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan ringan kerana terjatuh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, remaja itu telah diserahkan kepada anggota keluarganya dan operasi ditamatkan pada jam 9 pagi.