X

Kindly register in order to view this article
!

MRL, CCC-ECRL sasar sifar kemalangan di tapak projek ECRL

Darwis (kiri) bersama Bai Yinzhan ketika melancarkan Kempen Keselamatan CCC-ECRL 2021 di Maran pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) melancarkan Kempen Keselamatan 2021 bagi mencapai sasaran 'Zero Lost Time Injury' (LTI) untuk Projek Rel Pantai Timur (ECRL).

Majlis pelancaran kempen itu diadakan di Maran pada Selasa lalu yang dirasmikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan.

Darwis berkata, kempen tersebut dilancarkan bagi memastikan aspek keselamatan di tapak projek ECRL lebih terjamin dan risiko kemalangan dapat dielakkan sepanjang masa.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan dengan menekankan penerapan nilai positif budaya keselamatan yang akan menjadi kunci utama bagi mencapai objektif sifar LTI.

"Usaha berterusan pemilik projek, kontraktor utama dan subkontraktor projek ECRL ini penting bagi memastikan sasaran keselamatan di tempat kerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu tercapai.

“Aspek kesihatan dan keselamatan di tempat kerja sentiasa menjadi keutamaan dalam projek ECRL. Justeru, MRL dan CCC-ECRL telah menetapkan piawaian dan prosedur keselamatan yang tinggi kepada para pekerja," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerokai strategi bagi mengenalpasti risiko kemalangan dan bahaya di tapak-tapak projek bagi memastikan persekitaran di kawasan pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Port Klang sentiasa selamat.

Sehingga Februari lalu, projek ECRL dilaporkan mencapai kadar siap 20.83 peratus lebih awal dari jadual asal hasil kerja pembinaan yang pantas dan selamat di 94 lokasi utama di Seksyen B (Dungun-Mentakab).

Sementara itu, Bai Yinzhan berkata, aspek keselamatan dan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dengan memberi perhatian kepada kepentingan standard aspek itu dalam semua kerja-kerja projek ECRL yang sedang berjalan.

"Ia penting dalam memastikan projek ini berjalan lancar mengikut jadual tanpa sebarang kes kemalangan.

"Syarikat juga berhasrat untuk menetapkan standard rujukan mengenai pembinaan dan keselamatan landasan kereta api di negara ini dan bagi mencapai matlamat itu, kami di pihak pengurusan dan pekerja telah bertungkus-lumus meningkatkan sistem pengurusan keselamatan secara progresif," katanya.

Bai Yinzhan berkata, ia meliputi latihan untuk lebih daripada 1,000 pekerja melalui simulasi dan latihan keselamatan reaktif di pusat latihan disediakan.

"Pusat latihan tersebut dilengkapi simulasi realiti virtual (VR) canggih dengan lebih 100 situasi bahaya yang berpotensi dialami pekerja semasa di tapak pembinaan.

"Simulasi itu memberikan mereka pengalaman situasi sebenar seperti kejutan elektrik dan sebagainya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!