Agong berkenan lancar program pemerkasaan komuniti 29 Mac

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan program Pemerkasaan Komuniti yang digerakkan bagi menangani pandemik Covid-19 serta menyampaikan Titah Diraja pada 29 Mac ini secara siaran langsung di saluran televisyen.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata antara inti pati program tersebut adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat agar bersama-sama menjaga komuniti sekeliling dan keluarga masing-masing daripada risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata antara aktiviti Pemerkasaan Komuniti adalah penubuhan agen basmi Covid-19 (ABC-19), pertandingan kampung atau komuniti bandar zon hijau serta membantu pendaftaran vaksinasi untuk komuniti di pedalaman yang sukar dicapai oleh kumpulan lain dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Sejak program ini digerakkan dari Februari lepas, kita nampak usaha itu membuahkan hasil dengan penurunan kes Covid-19 yang ada kaitan dengan usaha dilaksanakan bersama komuniti," katanya ketika ditemui selepas hadir pada program Santai Mesra Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan Bersama Media, di sini pada Jumaat.

Aminuddin berkata, Nadma diberi tanggungjawab untuk menambah pendaftaran penerimaan vaksin khusus di kawasan pedalaman dengan menggunakan kekuatan pengaruh ketua komuniti.

"Kita harus bersedia untuk memastikan kumpulan yang tiada telefon bimbit dan berada di kawasan pendalaman berpeluang untuk divaksinasi," katanya, serta menambah masalah tiada hubungan internet atau telefon bimbit khususnya di kawasan pedalaman telah menarik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pertandingan komuniti zon hijau Covid-19 akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 April ini hingga 30 September untuk menjaga dan memastikan kawasan masing-masing bebas daripada risiko jangkitan Covid-19.

"Kampung atau komuniti terbaik akan menerima hadiah berbentuk peruntukan bagi tujuan pembangunan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nadma juga akan berjumpa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 23 Mac ini bagi mendapatkan bekerjasama dan kepakaran NGO untuk mendekati komuniti serta menghebahkan cara terbaik untuk bersama-sama menjaga daripada risiko Covid-19, katanya. - Bernama