Geram minta kerajaan benarkan komersial sisa WLP Lynas

Geram meminta kerajaan mempertimbangkan agar sisa penulenan air larut lesap (WLP) dari kilang Lynas diberikan pelepasan khusus untuk dikomersialkan. Gambar kecil: Ali Akbar
Geram meminta kerajaan mempertimbangkan agar sisa penulenan air larut lesap (WLP) dari kilang Lynas diberikan pelepasan khusus untuk dikomersialkan. Gambar kecil: Ali Akbar
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) meminta kerajaan mempertimbangkan agar sisa penulenan air larut lesap (WLP) dari kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di sini diberikan pelepasan khusus untuk dikomersialkan.

Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, ia sebagaimana yang dimaklumkan pihak Lynas bahawa sisa WLP itu telah disahkan selamat dan bernilai tinggi untuk sektor pertanian.

Menurutnya, sisa WLP itu difahamkan telah menjalani pelbagai proses ujian dan sesuai dijadikan baja untuk pelbagai jenis tanaman.

"Baja dari sisa WLP ini dikatakan sesuai untuk pelbagai jenis tanaman dan hasilnya menunjukkan kadar keberhasilan yang tinggi serta tiada kesan langsung kepada alam sekitar dan juga pengguna.

"Justeru wajar sekiranya kerajaan mempertimbangkan agar bahan ini dibenarkan untuk dikomersialkan sebagai baja bagi sektor pertanian dan perladangan di negeri Pahang serta industri lain yang bersesuaian," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Ali Akhbar berkata, usaha itu dilihat sebagai satu kaedah terbaik bagi melupuskan sisa WLP Lynas yang kini sudah mencecah satu juta tan di tapak simpanan sementara di kilang mereka di Gebeng

"Namun atas faktor yang tidak diketahui, sisa yang telah diuji dan diperakui bermutu tinggi serta selamat oleh pusat pengajian tinggi tempatan itu tidak diluluskan oleh kerajaan terdahulu untuk dikomersialkan.

"Justeru, Geram merasakan amat wajar kerajaan negeri Pahang mengambil inisiatif memohon pertimbangan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi agar sisa WLP ini dapat diberikan pelepasan khusus pada kadar segera untuk dikomersialkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menjadi satu kerugian sekiranya sisa yang disahkan selamat itu dibuang sebagai sisa buangan dan tidak dimanfaatkan.

Menurutnya, jika ia dimanfaatkan, kerajaan negeri serta sektor berkaitan di Pahang akan menikmati limpahan bekalan baja dan bahan mentah dalam jumlah yang besar pada kos yang rendah.

"Ia juga dapat membantu pengusaha sektor pertanian di negeri ini selain mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan.

"Pada masa sama, Lynas juga akan mendapat penjimatan yang besar tanpa perlu melalui proses pelupusan di tapak pelupusan kekal (PDF) sisa itu," katanya.

Katanya, langkah itu akhirnya akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.