X

Kindly register in order to view this article
!

Diserang histeria, panjat dinding elak dicekup imigresen

Anggota imigresen menahan pendatang asing untuk diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah tapak pembinaan di Jalan Imbi malam tadi. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki pendatang tanpa izin bertindak nekad memanjat dinding yang diperbuat daripada zink setinggi kira-kira 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang dipenuhi najis bagi mengelak ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam operasi, awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun, cubaan tiga lelaki yang tidak memiliki dokumen perjalanan lengkap itu gagal apabila berjaya dikesan dan ditahan dalam Op Jabatan Imigresen di sebuah tapak pembinaan di Jalan Imbi, di sini bermula kira-kira 10 malam hingga 2.30 pagi.

Operasi yang dilaksanakan secara bersepadu antara Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Putrajaya itu juga ‘cemas’ seketika apabila seorang wanita warga Indonesia berpura-pura diserang histeria dan mendakwa mengalami kekejangan pada bahagian badan.

Taktik wanita itu terbongkar apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam yang turut menyertai operasi itu memberikan rawatan kecemasan dan mendapati ia hanyalah lakonan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Mereka antara 328 warga asing yang ditahan dalam operasi itu sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Bukit Jalil untuk pemeriksaan lanjut.

Ismail (kanan) turun padang meninjau Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah tapak pembinaan di Jalan Imbi malam tadi. - Foto Bernama
Ismail (kanan) turun padang meninjau Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah tapak pembinaan di Jalan Imbi malam tadi. - Foto Bernama

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang turut menyertai operasi berkenaan berkata, operasi kali ke-75 itu menyasarkan kawasan tapak pembinaan bagi memastikan kesahihan pasport dan tempoh pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang dimiliki pekerja warga asing.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan berusia 22 hingga 63 tahun membabitkan 204 warga Bangladesh, Indonesia (108), India (empat), Myanmar (sembilan) dan lain-lain (tiga).

"Pelbagai rupa dan bentuk majikan pelik yang ditunjukkan warga asing ini, jadi kita akan siasat bagi menentukan sama ada pekerja ini ditempatkan di sektor asal seperti yang didaftarkan majikan atau sebaliknya.

“Saya perhatikan, suasana di kawasan ini tidak selesa dan sempurna daripada segi kemudahan penginapan asas yang diperuntukkan di bawah Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) yang mana makan minum, tidur dan pembuangan air kecil serta besar yang tidak terurus tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP), perkara ini akan segera dirujuk kepada (Kementerian) Sumber Manusia," katanya.

Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan sekiranya siasatan mendapati pekerja warga asing melakukan pekerjaan di sektor bertentangan dengan pekerjaan yang didaftarkan dalam dokumen. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!