Lompat parti, rasuah politik: Apakah penyelesaiannya?

No Image Caption
A
A
A

RAMAI rakyat Malaysia rasa amat marah dengan wakil rakyat yang melompat parti untuk menjatuhkan kerajaan. Dengan menggadai mandat pengundi, mereka memperkayakan diri dengan jawatan menteri, timbalan menteri atau ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setelah melompat. Malah ada dakwaan bahawa wang berjuta-juta turut ditawarkan ketika melompat.

Ramai yang mengangguk dengan senyuman pahit bila membaca kartun politik Zunar yang menyindir ‘Parlimen ditutup. Kerja-kerja beli MP sedang berjalan.’

Mengikut definisi antarabangsa untuk rasuah adalah ‘penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk manfaat persendirian’, wakil rakyat yang menjual mandat rakyat untuk mengaut kepentingan sendiri adalah perasuah.

Rasuah politik ini jauh lebih memudaratkan daripada rasuah di sekatan jalan raya, kerana yang dicuri bukan keselamatan jalan raya, tetapi demokrasi dan kestabilan politik negara.

Untuk mencegah gejala rasuah politik ini, ramai menuntut diadakan undang-undang antilompat (UAL) supaya wakil-wakil rakyat akan kehilangan kerusi sebaik mereka meninggalkan parti asal dan terpaksa bertanding pada pilihan raya kecil kalau mereka mahu kekalkan kerusi itu.

Lompat parti menjangkau rasuah politik

Seruan sebegini sungguhpun popular tetapi ada masalahnya. Ini kerana lompat parti atau secara tepatnya ubah ikatan parti/gabungan oleh wakil rakyat, adalah fenomena yang lebih kompleks daripada rasuah politik.

Ikatan parti/gabungan oleh wakil rakyat boleh berubah dalam beberapa keadaan (a) keluar parti (b) dipecat oleh parti (c) tidak mengikut perintah whip parti dalam undian di Dewan (termasuk dalam definisi UAL di India dan di New Zealand) (d) satu parti pecah kepada dua atau lebih (e) dua atau lebih parti bergabung menjadi satu dan (f) parti keluar gabungan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua ini boleh berlaku kerana rasuah, tidak berkaitan dengan rasuah malah boleh juga kerana melawan rasuah.

Sebagai contoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat oleh UMNO pada Jun 2016 kerana melawan skandal rasuah 1MDB. Secara teknikalnya, kalau Malaysia ada UAL, maka yang hilang kerusi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lawan rasuah dan bukan Datuk Seri Najib Razak yang memecat beliau.

Dalam erti kata lain, wakil rakyat keluar parti boleh menjadi satu perkara yang positif kalau kerana wujud perbezaan politik yang ikhlas. Kemunculan parti-parti baharu boleh jadi perkara baik kerana mencerminkan transformasi dalam masyarakat.

Maka, apa yang kita perlu lawan adalah lompat parti kerana motivasi rasuah.

Empat kaedah akan dibincangkan iaitu pertamanya UAL, keduanya pilihan raya pecat (PRP), ketiganya pengurangan jurang pemerintah-pembangkang dan keempat sistem pilihan raya perwakilan berkadar senarai parti.

Undang-undang antilompat (UAL)

UAL pernah wujud di peringkat negeri di Sabah, Sarawak dan Kelantan dari 1980an hingga ke 1990an dan diperkenalkan di Pulau Pinang pada tahun 2012.

Akan tetapi, Mahkamah Agung telahpun menetapkan pada tahun 1992 bahawa UAL bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 dalam Perlembagaan Perseketuan yang negeri tidak berhak untuk menyekat.

Akan tetapi, sekalipun dibenarkan, UAL mungkin membawa kesudahan yang tidak diingini: Parlimen dan DUN mungkin menjadi badan ‘cop getah’ yang lebih lemah daripada sekarang jika parti pemerintah mempunyai majoriti yang kukuh.

Ini kerana UAL yang berkesan mesti juga mengosongkan kerusi wakil rakyat yang dipecat parti, maka parti mungkin akan gunakan kuasa itu untuk mengugut wakil rakyat yang lantang bersuara.

Pilihan Raya Pecat (PRP)

PRP adalah pilihan raya yang membenarkan rakyat untuk memecat wakil rakyat sebelum habis tempohnya, seperti mana majikan yang memecat kakitangan yang malas sebelum kontrak tamat.

Mekanisme itu boleh dimulakan dengan pengumpulan tandatangan pengundi berdaftar dalam kawasan yang bersetuju untuk wakil rakyat sedia ada dipecat.

Jika bilangan tandatangan yang dikutip melepasi kadar yang ditetapkan, misalnya 10 peratus, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan ‘pilihan raya pecat’ (recall election) dengan pilihan ‘ya’ atau ‘tidak’ atas cadangan memecat wakil rakyat tersebut.

Jika undi ‘ya’ melebih undi ‘tidak’ dan melepasi ambang yang ditetapkan, misalnya 50 peratus, maka wakil rakyat sedia ada akan dipecat dan kemudian pilihan raya kecil akan diadakan untuk memilih penggantinya.

Berlainan dengan UAL, PRP tidak menghukum semua wakil rakyat yang melompat parti. Jika wakil rakyat itu keluar parti, dipecat parti atau lompat parti kerana itu memenuhi kehendak pengundi, maka beliau tidak akan menghadapi atau tidak dikalahkan oleh PRP.

Pengurangan jurang Pemerintah-Pembangkang

Lompat parti yang menganyangkan kestabilan politik Malaysia sebenarnya disebabkan jurang besar dalam kuasa, peranan, sumber malah ‘kekebalan’ undang-undang de fakto, di antara tiga darjat wakil rakyat (a) menteri, timbalan menteri atau exco negeri (b) government backbenchers (c) wakil rakyat pembangkang.

Lompat sering berlaku kerana yang pembangkang nak naik pangkat jadi kerajaan, yang backbencher nak naik pangkat jadi menteri, yang sudah menteri nak jadi perdana menteri atau menteri kanan.

Untuk mencegah lompat-melompat, kita boleh ada beberapa langkah (a) reformasi Dewan Undangan supaya government backbenchers dan wakil pembangkang ada peranan dalam pembuatan dasar dan undang-undang, bukan sahaja sebagai penjaga kawasan

Keduanya (b) dana pembangunan kawasan yang saksama untuk semua wakil rakyat tak kira parti (c) had kepada bilangan Menteri dan Timbalan Menteri (d) larangan untuk wakil rakyat menerajui GLC (e) pengiktarafan Kabinet bayangan daripada pihak pembangkang (f) pemisahan pendakwa raya daripada peguam negara dan keberkecualian SPRM supaya pemimpin politik yang rasuah dan melakukan jenayah tidak dilepaskan semata-mata kerana memihak kerajaan.

Sistem pilihan raya Perwakilan Berkadar Senarai Parti (Party-List)

Di bawah sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) sekarang, mandat pada teorinya diberikan kepada calon sungguhpun kebanyakan mereka menang atas tiket dan populariti parti. Sebahagian daripada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dipilih daripada sistem pilihan raya perwakilan berkadar senarai parti (List-PR), dalam mana rakyat mengundi parti dan kerusi yang dimenangi milikan parti. Maka, jika wakil rakyat lompat parti, kerusinya akan terus diambil oleh calon lain daripada parti yang sama, tanpa perlu pilihan raya kecil.

Tangkap di kolam ikan sepat,

Lompat lari ke longkang;

Kalau tak nak YB lompat,

Jangan pinggirkan pembangkang.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen